Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

11) PENCEMARAN ALAM SEKITAR OLEH KILANG

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan semua kilang yang telah diambil tindakan oleh pihak Kerajaan Negeri daripada tahun 2016 sehingga kini.

    Jumlah tindakan undang-undang yang telah diambil oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor kepada premis atau kilang daripada tahun 2016 sehingga 15 Ogos 2018 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 adalah seperti berikut:-

    1. Notis Arahan – 858 kes;
    2. Tawaran kompaun – 821 kes; dan
    3. Tindakan mahkamah – 245 kes.
  2. Apakah tindakan penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri terhadap kilang-kilang yang melepaskan sisa toksik ke dalam sungai sehingga mencemarkan alam sekitar seperti di dalam kawasan Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang?

    Jabatan Alam Sekitar akan mengeluarkan Notis Arahan kepada premis atau kilang yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 (AKAS) dan peraturan- peraturan di bawahnya supaya mengambil tindakan dan langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah pencemaran udara dan air yang berlaku. Selain dari itu, kompaun dan tindakan mahkamah akan diambil sebagai denda ke atas kesalahan yang telah dilakukan. Bagi memastikan pematuhan yang berterusan Jabatan Alam Sekitar akan menjalankan pemeriksaan secara berkala ke atas premis kilang yang tertakluk kepada AKAS 1974.

    Bagi premis di kawasan Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Jabatan Alam Sekitar telah mengambil tindakan terhadap premis-premis yang telah menyebabkan pencemaran air dengan mengeluarkan sebanyak 20 kes Notis Arahan dan 43 tawaran kompaun pada tahun 2016 sehingga 15 Ogos 2018. Selain itu, sebanyak 17 kes telah disediakan Kertas Siasatan terhadap kesalahan pencemaran air untuk diambil tindakan mahkamah manakala 17 kes pula telah diambil tindakan penahanan operasi di bawah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Lampiran

Tiada Lampiran.