Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
359) PENCEMARAN ALAM SEKITAR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan serta kawalan yang sedang dibuat serta perancangan bagi mengawal agar tidak akan berlaku pencemaran alam sekitar iaitu pencemaran air, udara serta alam sekitar?
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor melaksanakan tindakan-tindakan berikut bagi mencegah dan mengawal kes pencemaran alam sekitar, antaranya :-
i) Memperkasa Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya di mana Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling 2024 dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada suku ke-empat tahun ini. Melalui RUU ini, nilai kompaun bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan akan dinaikkan daripada RM 2000 kepada tidak melebihi 50% daripada denda kesalahan yang ditetapkan dan denda maksimum jika sabit kesalahan di mahkamah juga dinaikkan sehingga RM 10 juta.
ii) Pihak JAS juga sedang melaksanakan pengukuhan organisasi ke arah penguatkuasaan yang lebih menyeluruh memandangkan bilangan punca pencemaran industri dan bukan industri yang tinggi di negeri Selangor (sebanyak 12 ribu) adalah tidak setara dengan bilangan anggota penguatkuasa JAS. Perancangan yang terlibat adalah mewujudkan pejabat cawangan JAS di setiap daerah iaitu “Satu Daerah, Satu JAS”.
iii) Penguatkuasaan dilaksanakan secara bersasar mengikut sektor yang dikenalpasti sebagai penyebab utama pencemaran di mana melalui strategi ini, JAS memberi tumpuan kepada lapan (8) Sektor Industri Berisiko Tinggi Mencemar Alam Sekitar. Dalam hal ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menetapkan sasaran untuk meningkatkan pematuhan ke atas 8 sektor industri tersebut bagi tahun 2023 yang meliputi industri-industri pembuatan produk logam, pembuatan kertas dan produk kertas, pembuatan logam asas, pembuatan produk getah dan plastik, pembuatan produk galian bukan logam, pembuatan produk makanan, pembuatan kimia dan produk kimia dan pembuatan produk petroleum.
iv) Pelaksanaan Operasi Khas yang dikenali sebagai Ops. Gempur dan Ops. Lembangan pada setiap bulan dengan menyasarkan premis-prems yang terletak dalam lembangan sungai, di hulu Loji Rawatan Air (LRA) dan menghasilkan efluen. Pemilihan kawasan untuk Operasi Khas ini ditumpukan ke kawasan-kawasan industri tertentu yang dikenalpasti bermasalah dan sering menerima aduan.
v) Penguatkuasaan mengikut musim di mana JAS akan mempertingkatkan pemantauan terhadap punca yang menjadi punca utama pencemaran pada masa tertentu, contohnya semasa musim kering, tumpuan penguatkuasaan adalah terhadap punca yang menyebabkan pencemaran udara yang tinggi, kawasan tanah gambut, kawasan pembinaan dan kawasan yang dikategorikan mudah untuk berlakunya pembakaran terbuka.
vi) Peningkatan penggunaan teknologi bagi mengesan kes-kes pencemaran melalui penggunaan drone bagi membolehkan pemantauan dilakukan meliputi kawasan yang lebih luas dan menjimatkan masa serta
vii) Pelaksanaan kaedah pematuhan kendiri (self regulatory) oleh pihak industri dengan melaporkan status pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 secara atas talian (online), melaksanakan audit oleh pihak ketiga dan melantik Orang Yang Berwibawa (Competent Person) untuk menyelia operasi alat kawalan pencemaran.
viii) Penglibatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar bagi mengenalpasti isu dan pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan lanjut terhadap sesuatu isu pencemaran, terutamanya yang di luar bidang kuasa dan kawalan JAS. Selain dari itu, bagi kes-kes pencemaran kacau ganggu seperti pembakaran terbuka di kawasan perumahan, gangguan bunyi bising di kawasan perumahan dan komersial serta kes-kes kacau ganggu yang lain, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan di bawah bidangkuasanya. Tindakan penyelarasan dan pemantauan terhadap isu pencemaran dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tindakan Alam Sekitar dilaksanakan sehingga masalah pencemaran selesai sepenuhnya.
viv) Program-program Communication, Education and Public Awareness (CEPA) bagi meningkatkan tahap kesedaran pelbagai lapisan masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
-
Apakah polisi Kerajaan Negeri berkenaan dengan EIS khususnya apabila pembangunan tersebut menyebabkan isu alam sekitar?
Pernyataan Kesan Alam Sekitar (Environment Impact Statement, EIS) merupakan salah satu kaedah perancangan (planning tools) yang diamalkan oleh sesetengah negara bagi mengenalpasti impak sesuatu projek pembangunan terhadap alam sekitar. Namun demikian, di negara kita, telah terdapat prosedur Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA) sepertimana yang termaktub dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974. Prosedur EIA di Malaysia adalah lebih komprehensif kerana ia merupakan satu kajian secara saintifik bagi mengenalpasti, meramal dan menilai impak terhadap alam sekitar yang berpunca dari cadangan projek-projek pembangunan. Kajian EIA juga akan mengenalpasti dan mencadangkan langkah-langkah kawalan dan mitigasi bagi mengurangkan impak yang dijangkakan. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Prosedur EIA sedia ada telah lengkap dan mencukupi untuk membantu Pihak Berkuasa Negeri (PBN) membuat keputusan ke atas mana-mana cadangan pemajuan projek bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lestari.