Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

191) PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Di kawasan DUN IJOK ada pembakaran tempurung secara haram yang mencemarkan alam sekitar. Keluhan penduduk setempat atas masalah ini tidak dihormati. Apa tindakan tegas yang perlu dikenakan ke atas tuan punya tanah dan pihak yang tidak bertanggungjawab ini?

    Tidak dapat disangkal lagi bahawa Kerajaan  Negeri  sememangnya  sentiasa menuju ke arah untuk membangunkan rakyat dan memakmurkan negeri. Namun dalam mengejar cita-cita untuk menjadi sebuah negeri Smart State yang boleh menggugat kualiti hidup rakyat Negeri Selangor. Isu seperti pencemaran alam sekitar tidak akan sesekali dipandang remeh oleh Kerajaan Negeri.

    Berkenaan dengan isu pembakaran tempurung secara haram yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat dari Ijok, untuk makluman semua ahli-ahli YB sekalian, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) telah menerima aduan mengenai bau/asap pembakaran tempurung bermula April 2016. Siasatan telah dilakukan dan mendapati sebanyak empat (4) premis yang mengusahakan aktiviti pembakaran tempurung di seluruh kawasan Ijok dan kesemuanya adalah tidak berlesen dan menjalankan aktiviti tanpa kebenaran dari pihak MDKS. Pada 7 April 2016, pihak MDKS dengan kerjasama yang padu dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pejabat Daerah / Tanah Kuala Selangor (PDTKS) telah menjalankan operasi bersepadu tindakan penguatkuasaan dan telah menyita premis yang melakukan kesalahan.

    Berdasarkan kepada satu lagi aduan yang terbaru, pihak MDKS telah mengeluarkan notis dan kompaun kepada pengusaha tersebut namun gagal dipatuhi. Oleh yang demikian pihak MDKS sekali lagi telah berjaya menyita tujuh puluh dua (72) unit tong pembakaran tempurung. Operasi susulan terakhir dilakukan pada bulan Disember 2016 berikutan kegagalan pengusaha untuk mematuhi arahan menghentikan operasi. Untuk makluman, kes ini telah dibawa untuk pembukaan kertas siasatan bagi tindakan selanjutnya. Ini adalah di antara beberapa contoh kes yang telah pun diambil tindakan yang tegas.

    Tindakan penguatkuasaan Kerajaan Negeri tidak akan berhenti sampai di sini sahaja. Pihak PBT sentiasa menjalankan siasatan bagi mengesan kegiatan pembakaran tempurung di kawasan-kawasan yang disyaki. Pihak PBT juga adalah dalam proses untuk menganjurkan mesyuarat penyelarasan tindakan operasi bersepadu yang lebih agresif bersama jabatan-jabatan yang terlibat bagi mengawal kacau ganggu dalam langkah untuk membanteras pencemaran alam sekitar. Ini adalah bagi memastikan tindakan tegas terus dilaksanakan ke atas pengusaha-pengusaha yang tegar di bawah akta serta undang-undang berkaitan yang berkuat kuasa di bawah bidang kuasa jabatan.

     

    JAS boleh mengambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sementara PDTKS pula boleh mengeluarkan notis 7A iaitu notis melanggar syarat tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 sekiranya betul pelanggaran syarat itu berlaku selepas siasatan dilakukan. Sekiranya pemilik tanah enggan memulihkan tanah tersebut, notis 8A boleh dikeluarkan yang boleh menyebabkan tanah itu dirampas oleh Kerajaan Negeri.

    Di kesempatan ini juga saya ingin menyeru agar aduan-aduan yang ingin dibuat kepada Kerajaan Ngeri perlulah melalui saluran yang betul dan bukanlah kepada pihak-pihak yang tidak sepatutnya. Ini adalah supaya setiap aduan ini dapat direkodkan dan tindakan penguatkuasaan yang bakal dilakukan adalah mengikut kepada Standard Operating Procedure yang betul.

Lampiran

Tiada Lampiran.