Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

157) PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah strategi Kerajaan Negeri dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mampan?

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor sentiasa mengambil tindakan dengan menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan secara berkala bagi memastikan punca-punca yang menghasilkan pencemaran iaitu punca tetap (terdiri daripada Premis Yang Ditetapkan, PYDT dan Premis Yang Bukan Ditetapkan, PYBDT) dan punca bergerak (terdiri daripada kenderaan bermotor) mematuhi keperluan dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974. Punca-punca tersebut turut dipantau secara atas talian (online) melalui sistem penjejakan bagi mengelakkan dan mencegah insiden pencemaran tanpa kawalan berlaku secara terus ke perairan daratan (sungai), udara dan tanah. Selain itu, JAS Selangor turut menjalankan operasi secara bersepadu bersama pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) dan agensi kerajaan yang berkaitan melalui operasi khas bagi menangani sebarang isu pencemaran alam sekitar di Negeri Selangor.

     

    JAS selaku agensi yang bertanggungjawab dalam menilai Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) turut mengambil kira aspek pembangunan mampan dan lestari dalam proses penilaian laporan tersebut. Ini adalah bagi mengenalpasti dan mengelakkan sebarang impak negatif pembangunan terhadap alam sekitar, sosial dan kesihatan. Disamping itu, pendekatan dan strategi pengurusan alam sekitar juga sentiasa diubahsuai dan ditambahbaik seiring dengan perkembangan pesat dalam aspek teknologi, perundangan, ICT dan isu semasa seiiring dengan keperluan di peringkat nasional dan antarabangsa. Kaedah penguatkuasaan melalui konsep pematuhan kendiri turut diperkenalkan kepada pihak pemaju, industri dan orang awam bagi mengarusperdanakan agenda alam sekitar dalam perancangan, pembinaan, pelaksanaan atau operasi melalui suntikan elemen environmental mainstreaming tools. Pendekatan ini dapat memastikan pematuhan sesebuah organisasi kepada keperluan perundangan berkaitan alam sekitar, ketelusan dan akauntabiliti alam sekitar.

  2. Apakah langkah dan strategi Kerajaan Negeri terhadap aduan pembakaran sampah terbuka terutamanya oleh pengusaha sampah haram?

    Kerajaan persekutuan melalui JAS telah mewartakan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 (Akta 127) pada 7 Julai 2024 dengan meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29A melalui penetapan nilai tawaran kompaun minimum daripada RM 2,000 kepada tidak melebihi 50% daripada jumlah penalti yang diperuntukan bagi kesalahan tersebut. Selain itu, nilai denda juga telah ditingkatkan kepada tidak kurang RM 25,000 dan denda maksimum tidak melebihi RM 1,000,000.

    Pada tahun 2023 hingga 2024, sebanyak 20 kompaun telah dikeluarkan dan 1 tindakan mahkamah telah direkodkan atas kesalahan pembakaran terbuka. JAS Negeri Selangor juga telah mengambil inisiatif dengan membuat rondaan pemantauan di lokasi-lokasi hotspot tapak pelupusan sampah haram di seluruh Negeri Selangor terutamanya pada waktu hujung minggu bagi mencegah aktiviti pembakaran terbuka. Sebanyak 960 rondaan telah dijalankan pada tahun 2023 dan sebanyak 167 rondaan telah dijalankan sehingga Oktober 2024.

    JAS Negeri Selangor juga telah berkerjasama dengan pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi penugasan rondaan pemantauan harian untuk mencegah kebakaran di kawasan-kawasan risiko dan sering terbakar.

Lampiran

Tiada Lampiran.