Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
212) PENCEMARAN AIR SUNGAI YANG MENJADI SUMBER AIR TERAWAT
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri ke atas 4 episod pencemaran air di Negeri Selangor?
Berikut adalah tindakan yang diambil oleh LUAS:
Bil Nama Premis Tarikh kejadian Jenis Pencemaran Tindakan yang dikenakan Status Kes 1. Devaraj a/l Shanmugam Maduraiveran Pillai a/l Nageswara
19 Mac 2019 Membuang bahan buangan yang mengandungi minyak ke dalam kolam takungan banjir di Taman Eng Ann, Klang. Pendakwaan sedang dijalankan di Mahkamah Sesyen di Klang. OKS 1 masih dalam prosiding perbicaraan. OKS 2 telah mengaku salah dan dihukum denda RM 25,000.00.
2. Syarikat Ngo Chew Hong 26 Jun 2019 Menyebabkan pelepasan atau kemasukan efluen kilang sehingga menyebabkan pencemaran bau di Sungai Semenyih. Surat Arahan diberikan kepada premis untuk menghentikan operasi kilang dan menjalankan langkah-langkah mitigasi pengawalan pencemaran. Pihak premis telah mematuhi surat arahan yang diberikan. 3. Kumpulan Semesta Sdn Bhd 21 Julai 2019 Gagal mematuhi syarat Kebenaran Bertulis sehingga menyebabkan kemasukan atau pelepasan minyak ke dalam Sungai Selangor. Kertas siasatan telah dibuka. Kertas siasatan telah dipanjangkan kepada pihak Timbalan Pendakwaraya untuk arahan selanjutnya. -
Adakah tindakan tegas telah diambil terhadap kilang-kilang tanpa lesen di sepanjang jajaran sungai sumber air mentah yang menjadi penyumbang kepada pencemaran tersebut?
Tindakan yang dikenakan adalah dengan mengeluarkan Notis, Kompaun atau Surat Arahan mengikut jenis kesalahan yang dilakukan di bawah peruntukan Enakmen LUAS 1999.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pencemaran di Sungai melalui konsep Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai atau “Integrated River Basin Management (IRBM)” di Lembangan Sungai Selangor melibatkan pelbagai agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Tanah, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Veterinar dan Jabatan Alam Sekitar. Tumpuan utama program yang dilaksanakan adalah terhadap kilang-kilang tanpa lesen bagi melindungi sumber bekalan air dan Loji Rawatan Air yang sering menerima kesan akibat pencemaran.
Melalui penguatkuasaan yang dilaksanakan pelbagai tindakan keras telah diambil terhadap premis-premis yang gagal mematuhi undang-undang, Jabatan Alam Sekitar akan mengeluarkan Notis Arahan kepada premis atau kilang yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekelling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawah nya supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi/mengawal pencemaran yang berlaku. Sekiranya masih gagal, pihak premis akan dikenakan tindakan kompaun dan tindakan mahkamah sebagai denda atas kesalahan yang dilakukan.
Bagi industri yang mempunyai rekod dengan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dan tertakluk dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, JAS akan menjalankan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan industri tersebut mematuhi kehendak undang-undang tersebut. Selain itu bagi industri yang tidak tertakluk dengan perundangan JAS, JAS akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah Dan Deaerah, Lembaga Urus Air Selangor dan lain-lain Jabatan yang berkaitan bagi mengatasi isu pencemaran yang berlaku.