Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
232) PENCEMARAN AIR DI SELANGOR
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri ke atas kilang yang menyebabkan pencemaran air?
Mekanisme kawalan dan perundangan yang melibatkan efluen perindustrian adalah terletak di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar di Negeri Selangor.
Selain daripada itu, pihak Kerajaan Negeri juga boleh mengambil tindakan dengan merampas tanah milik kilang yang melanggar syarat nyata tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 atau mana-mana undang-undang yang terpakai di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan dan tindakan bersepadu antara agensi akan dijalankan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Sementara itu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) boleh mengeluarkan surat arahan pembersihan pencemaran kepada kilang-kilang tersebut di bawah seksyen 41(3) (d) Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999. Pihak kilang hendaklah menjalankan kerja-kerja pembersihan dalam tempoh yang diberikan dan sekiranya gagal mematuhi arahan, mereka boleh di kompaun atau didakwa.
-
Apakah hasil kajian pencemaran air tanah di kawasan tapak pelupusan sisa pepejal di Selangor?
Berdasarkan pemantauan dan rekod kualiti air bumi sejumlah 44 parameter di telaga-telaga pemegang Lesen Abstraksi Air Bumi yang berhampiran dengan lokasi tapak pelupusan sampah tiada masalah pencemaran yang signifikan dengan tapak pelupusan sisa pepejal.