Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
244) PENCEMARAN AIR BERBAU
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri sekiranya berlaku pencemaran air berbau yang kini kerap berulang?
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan semua 7 empangan di Negeri Selangor di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999. Selain itu, sejumlah 413 (40%) daripada jumlah keseluruhan 1026 batang sungai kini turut telah melalui proses pewartaan di bawah peruntukan yang sama. Tujuan pewartaan ini adalah untuk melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.
Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui LUAS dan Pengurusan Air Selangor juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu dari muka sauk sebagai sistem amaran awal /early warning system kepada muka sauk bekalan air jika berlakunya pencemaran di hulu.
Kerajaan Negeri melalui LUAS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-sungai Negeri Selangor yang dipengerusikan YB. EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam bagi mempergiatkan usaha dan menggalakkan penglibatan agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor.
Pemantauan berkala dilaksanakan oleh Lembaga bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara daripada aspek kualiti dan kuantitinya.
Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut sentiasa dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.
Maklumat tambahan:
Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:
- Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
- Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
- Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
-
Nyatakan jumlah perbelanjaan bagi projek baik pulih masalah air di Selangor?
Kos perbelanjaan bagi projek baik pulih masalah air di Selangor adalah melibatkan kerja-kerja pembersihan sungai. Apabila suatu pencemaran berlaku dan memerlukan kepada kerja-kerja pembersihan, kos yang terlibat adalah sangat tinggi. Sebagai contoh, bagi kes pencemaran yang berlaku di Sungai Semenyih pada 2016 yang berpunca daripada sebuah premis penyimpanan minyak kenderaan terpakai, kos pembersihannya adalah hampir RM8 juta.