Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
344) PENCEMARAN AIR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan terbaru Selangor dalam usaha menghalang pencemaran air?
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.
Bagi memastikan sumber air terpelihara, Kerajaan Negeri melalui inisiatif pihak LUAS telah melaksanakan beberapa tindakan dalam memperkasakan tindakan pemantauan dan juga kawalan punca pencemaran, antaranya adalah seperti berikut:
- Menjalankan Kajian Inventori Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi sungai-sungai yang berisiko sebagai langkah pencegahan dan kawalan aktiviti-aktiviti di rizab sungai bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu;
- Melaksanakan pemantauan 24 jam oleh Skuad Pantas LUAS di lembangan sungai strategik bagi memastikan sumber air terpelihara dengan melaksanakan langkah-langkah kawalan dan pencegahan bagi meminimumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA);
- Melaksanakan pemasangan stesen telemetri kualiti air di hulu muka sauk sebagai sistem amaran awal/ early warning system bagi meminimumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA);
- Melaksanakan blok pemantauan kualiti air ataupun dikenali sebagai River Monitoring Program, RMP di sepanjang rizab sungai utama Negeri Selangor dan juga anak-anak sungai yang berisiko. Pemantauan ini berdasarkan Kajian Pemetaan Dan Inventori Aktiviti Guna Tanah Di Rizab Sungai Sembah dan Anak – Anak Sungainya, Sungai Klang, Sungai Damansara, Sungai Semenyih, Sungai Rinching dan Sungai Beranang bagi Fasa 1 pada tahun 2017 dan seterusnya Fasa 2 bagi Sungai Buloh, Sungai Langat dan Sungai Selangor pada tahun 2021. Objektif pelaksanaan pemantauan blok adalah seperti berikut:
a. Memastikan kualiti air sungai berada dalam keadaan yang baik dan terpelihara;
b. Menentukan outfall aliran ke sungai untuk tujuan verifikasi kualiti air pelepasan aliran dari outfall;dan
c. Menyelaraskan cadangan kawalan kepada kualiti air bagi pelepasan aliran dari outfall yang melibatkan aktiviti dari kawasan pembangunan, komersil, industri dan persekitarannya untuk diambil tindakan lanjut dengan kerjasama agensi berkaitan selaras bidang kuasa; - Mempergiatkan usaha dan memperkasakan penglibatan agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor. Antara program yang telah dilaksanakan adalah penubuhan Sahabat Sungai atau dikenali Friends of River, FoR di mana program ini meliputi seluruh kawasan sungai di Negeri Selangor yang menggalakkan penglibatan komuniti setempat memelihara dan memulihara sungai/ sumber air di kawasan masing-masing; dan
- Sebagai salah satu langkah jangka masa panjang terhadap isu pencemaran adalah pengawalan pencemaran daripada punca (control at source) iaitu kawalan pelepasan efluen daripada aktiviti premis. Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS sedang menggerakkan inisiatif dasar Polluters Pay Principle (PPP) dan Zero Discharge Policy (ZDP). Polisi ini adalah pendekatan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar. Pelaksanaan kedua-dua polisi ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya dan seterusnya mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi dan menggalakkan amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices, BMPs) atau teknologi hijau/green technology seperti kitar semula pelepasan efluen oleh sektor ekonomi.
Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bagi memastikan sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.
Maklumat tambahan
Selain itu, pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:
- Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
- Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor yang dipengerusikan oleh Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
- Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Alam Sekitar.