Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

23) PENCEMARAN AIR

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan langkah langkah Kerajaan Negeri untuk mencegah sumber air agar bekalan air bersih agar tidak tercemar?

    Pencemaran sungai merupakan isu yang kerap kali berulang dan ada di antaranya menyebabkan henti tugas loji pembersihan air. Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri telah melaksanakan langkah-langkah kawalan seperti berikut :

    i) Mengadakan perbincangan dan tindakan susulan melalui dua (2) jawatankuasa yang ditubuhkan iaitu Mesyuarat Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat yang dipengerusikan oleh Pengarah LUAS dan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor;

    ii) Melaksanakan dan mengemaskini inventori punca pencemaran di sungai-sungai dalam Negeri Selangor seperti Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang;

    iii)  Menjalankan pemantauan static dan pensampelan selama 24 jam di lokasi utama yang menyebabkan pencemaran. Sebagai contoh pemantauan kekeruhan di Sungai Sub dan Sungai Michu, Hulu Langat akibat daripada aktiviti pembangunan/kerja tanah tidak terkawal;

    iv) Melaksanakan pembinaan stesen kuantiti dan kualiti sumber air. Bagi di lembangan sungai seperti Sungai Selangor dan Sungai Langat bagi melengkapi rangkaian stesen sedia ada.

    v) Menguatkuasa dan menjalankan pemantauan kawalan pencemaran melalui Peraturan peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013 dan Peraturan Kemasukan dan Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012;

    vi) meningkatkan pengambilan kakitangan penguatkuasaan bagi memperkasakan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan LUAS; dan

    vii) Menjalankan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan dengan mengoptimumkan pelaksanaan undang-undang dan arahan bagi memastikan sumber air terpelihara.

  2. Senaraikan kerja baik pulih kawasan tadahan air dan simpanan air bersih di Selangor serta kos operasi tersebut bagi tahun 2019?

    Semuas kawasan tadahan dan empangan berada dalam kawasan yang telah digazetkan di bawah Jabatan Perhutanan dan LUAS. Pada masa kini, keadaan kawasan tadahan adalah terpelihara dan selamat daripada pencerobohan yang boleh mengakibatkan pencemaran air mentah. Air Selangor turut melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berkala dan pemantauan rapi di 7 empangan di Negeri Selangor. Air Selangor juga telah mengaktifkan semula beberapa kolam air bersih dan rumah pam yang tidak aktif di bawah perbelanjaan modal (CAPEX) 2019 untuk memastikan simpanan air bersih mencukupi sebelum diagihkan kepada pengguna. Senarai aset di bawah Program Pengaktifan Semula Kolam Air Bersih dan Rumah Pam adalah seperti berikut :

    No. Nama Aset Wilayah
    1. Kolam Menara Kampung Bendahara Gombak
    2. Kolam Air Bukit Lela A Gombak
    3 Kolam Air Bukit Lela B Gombak
    4. Kolam Air Kepong Estate 10MG Gombak
    5. Kolam Menara Pendamar Indah Klang
    6. Kolam Sedut Pendamar Indah Klang
    7. Rumah Pam Pendamar Indah Klang
    8. Kolam Menara Cherakah Jaya Klang
    9. Kolam Menara Taman Kota Bayu Emas Klang
    10. Kolam Sedut Taman Kota Bayu Emas Klang
    11. Rumah Pam Taman Kota Bayu Emas Klang
    12. Kolam Sedut Taman Harmoni Indah Hulu Langat
    13. Rumah Pam Taman Harmoni Indah Hulu Langat
    14. Kolam Menara Taman Bangi Jaya Hulu Langat
    15. Tangki Menara Langgak Bukit 1 Gombak
    16. Tangki Menara Langgak Bukit 2 Gombak

    Air Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM25.35 Juta bagi kerja-kerja pengaktifan kolam-kolam air dan rumah pam tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.