Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
122) PENCEGAHAN DENGGI
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah rasional yang digunakan oleh KNS semasa melancarkan kempen menggunakan aerosol untuk menghapuskan nyamuk Aedes?
Program Semburan Aerosol Selangor (SAS) telah dilancarkan pada 26 Februari 2017 yang bertemakan ‘Satu Rumah, Satu Aerosol’ sebagai satu langkah proaktif bagi mengawal dan mencegah penularan wabak Denggi yang bermula di rumah. Program SAS ini diilhamkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya penggunaan Aerosol di dalam rumah supaya ahli keluarga dapat dilindungi daripada nyamuk Aedes yang berkemungkinan berada dekat dengan penghuninya. Kaedah pencegahan ini amat mudah didapati dan dilaksanakan oleh setiap isi rumah dengan mematuhi arahan yang terdapat pada label.
Program ini merupakan fasa pertama yang telah dirancang oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor bagi mencegah kes demam Denggi daripada terus meningkat. Kempen-kempen kesedaran penggunaan Aerosol akan diteruskan di peringkat PBT semasa pelaksanaan program gotong-royong bersama penduduk.
Lanjutan keberkesanan yang dihasilkan daripada pelaksanaan Program SAS ini di rumah-rumah, Kerajaan Negeri melebarkan usaha untuk meluaskan penggunaan aerosol kepada pengusaha pengangkutan awam di negeri Selangor di mana sebahagian besar penduduk di Negeri Selangor menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam ini. Program ini melibatkan semua pengusaha Bas Smart Selangor, Bas Ekspres, Bas Berhenti-henti, Bas Sekolah, Bas Pekerja dan Pemandu Teksi di Selangor sebagai agen pencegahan denggi.
-
Apakah kesan penggunaan berleluasa aerosol keatas kesihatan manusia dan alam sekitar?
Penggunaan aerosol secara teratur adalah bertepatan dengan saranan dan panduan yang terdapat pada label yang dibekalkan. Penggunaan dan kaedah semburan yang betul tidak akan memberi kesan langsung kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Kerajaan Negeri turut mengedarkan risalah kaedah semburan aerosol bagi memastikan semua masyarakat dan pengusaha pengangkutan awam mengikuti panduan tersebut.
-
Sila nyatakan alternatif selain aerosol yang terbaik untuk menghapuskan Aedes.
Selain penggunaan aerosol, penggunaan insect repellent juga digalakkan apabila berada di luar rumah bagi mengelakkan terkena gigitan nyamuk di kawasan luar rumah terutama pada waktu pagi dan senja. Langkah ini memberi perlindungan kepada keluarga secara total dan berkesan kerana boleh menghindarkan nyamuk aedes untuk mendekati dan mengigit.
Penggunaan abate juga adalah digalakkan kepada masyarakat bagi mencegah pembiakan Denggi di tempat-tempat yang boleh menakung air. Abate ini adalah sejenis pasir yang diproses dengan bahan tertentu untuk mematikan jentik-jentik dan iainya perlu ditaburkan ke tempat takungan seperti tangki air, bekas menakung air dan sebagainya. Takungan yang tidak dapat dielakkan haruslah diletakkan abate secara berkala bagi menhapuskan jentik-jentik aedes.
Masyarakat juga diminta untuk mencari dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes yang terdapat di dalam rumah seperti takungan di bawah peti sejuk, baldi yang berisi air bertakung, bekas pasu bunga serta tidak menyimpan barang-barang yang boleh menakung air di dalam mahupun diluar rumah. Dengan tindakan kendiri yang dijalankan oleh masyarakat, Kerajaan Negeri berharap agar kes demam Denggi dapat dicegah daripada meningkat dan menjayakan Program Selangor Bebas Denggi.