Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

186) PENCAPAIAN SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bolehkah Kerajaan Negeri memberikan kemas kini mengenai sejauh mana pencapaian Selangor dalam melaksanakan Sustainable Development Goals (SDG)?

    Kerajaan Negeri memantau pelaporan tahap pencapaian pelaksanaan Sustainable Development Goals (SDG) di peringkat Kerajaan Negeri melalui PLANMalaysia Selangor. Pelaksanaan dan pencapaian SDG diukur melalui pelaporan secara sukarela yang dikemukakan kepada pihak United Nations (UN). Antara pencapaian Negeri Selangor dalam melaksanakan SDG adalah seperti berikut:-

     

    • Pelaporan Voluntary Local Review (VLR) 2024 (peringkat Pihak Berkuasa Tempatan) oleh Majlis Bandaraya DiRaja Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor;

     

    • Pelaporan Voluntary Subnational Review (VSR) 2023 (peringkat Pihak Berkuasa Tempatan) oleh Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Sepang.
  2. Apakah strategi jangka panjang Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan penyertaan sektor swasta dan masyarakat sivil bagi mencapai matlamat SDG di Selangor?

    Kerajaan Negeri melalui konsep usahasama (Smart Partnership) di antara 3 pihak berkepentingan iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak swasta dan Masyarakat telah merangka strategi bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG. Antara strategi tersebut adalah seperti berikut:-

     

    • Bangunan, Air dan Kecekapan Tenaga – penggunaan tenaga solar dan LED bagi memastikan tiada pembaziran penggunaan tenaga elektrik;

     

    • Pengangkutan Awam yang canggih dan mobiliti – pelaksanaan mobiliti rendah karbon, penggunaan kenderaan elektrik, pemasangan lampu isyarat pintar dan pengurusan pengangkutan pintar serta pengintegrasian mod pengangkutan awam.

     

    • Penghijauan Bandar – pelaksanaan inisiatif kebun komuniti, penggunaan lampu LED dan solar serta pemasangan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH).
  3. Apakah inisiatif SDG yang digunakan bagi memberikan ruang kepada OKU?

    Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan beberapa inisiatif yang bertujuan untuk memberikan ruang kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari atau SDGs. Antara inisiatif tersebut adalah seperti berikut:

     

    • Pengukuhan Infrastruktur dan Aksesibiliti: Menyediakan infrastruktur dan aksesibiliti bagi komuniti OKU, termasuk pembinaan jambatan pejalan kaki yang lebih selesa dengan akses yang lebih baik untuk pengguna kerusi roda;

     

    • Pengenalan Latihan dan Program Pembangunan: Organisasi seperti Damai Disabled Person Association Malaysia menyediakan latihan dan program pembangunan khusus untuk komuniti OKU. Organisasi tersebut juga bekerjasama dengan pihak berkuasa, NGO, dan sektor swasta untuk meningkatkan pemahaman serta menyediakan peluang latihan kepada komuniti OKU; dan

     

    • Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM): Program ini melibatkan penyertaan komuniti OKU dalam program ini bagi meningkatkan potensi diri dan memastikan komuniti tersebut tidak terpinggir. Ini adalah antara usaha untuk memastikan komuniti OKU terlibat di dalam program-program yang dilaksanakan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.