Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
423) PENCAPAIAN SELANGOR DI SUKAN MALAYSIA (SUKMA) 2024
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri Selangor melihat pencapaian kontinjen Negeri Selangor dalam SUKMA baru-baru ini di Sarawak?
Kontinjen Negeri Selangor telah menyertai Temasya SUKMA yang berlangsung pada 17 sehingga 24 Ogos 2024 Sarawak lalu. Kontinjen SUKMA Negeri Selangor telah menduduki tempat ke-3 daripada 15 Negeri / Negara yang mengambil bahagian dengan perolehan 56 Emas, 64 Perak, 60 Gangsa dengan jumlah keseluruhan sebanyak 180 pingat. Atlet Negeri Selangor dari sukan Akuatik Renang iaitu Andrew Goh Zheng Yen juga telah dinobatkan sebagai Olahragawan Temasya SUKMA 2024 setelah memperolehi 5 pingat Emas dengan memecahkan 2 rekod kebangsaan dan 2 rekod kejohanan. Secara keseluruhannya Kerajaan Negeri Selangor berpuas hati dengan pencapaian semua atlet yang telah menyertai Temasya SUKMA 2024 setelah menepati sasaran kedudukan 3 tempat teratas seperti yang telah ditetapkan sebelum Temasya SUKMA berlangsung.
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menggalakkan belia di Selangor menyertai kejohahan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa?
Kerajaan Negeri Selangor sangat mengambil berat terhadap pencapaian ataupun kejayaan yang telah diperolehi oleh nama-nama atlet Negeri Selangor samada diperingkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Pelbagai Insentif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada atlet sekiranya mereka mencapai tahap yang cemerlang diperingkat tertinggi di Kejohanan sukan sebagai dorongan atlet-atlet muda terus dalam aktiviti sukan berprestasi tinggi. Sebagai contoh Insentif Kemenangan Atlet, Pengiktirafan kurniaan Pingat Kebesaran Sukan Negeri Selangor, Penganugerahan Sukan Negeri, Tawaran pakej Pendidikan ( Biasiswa Sukan ), Pendedahan terhadap kursus-kursus keusahawanan, bengkel kemahiran dan sebagainya.