Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
40) PENASIHAT EKONOMI NEGERI
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Mohamad Satim Bin Diman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah terma rujukan seorang penasihat ekonomi negeri dan apakah kemudahan (entitlement) yang dinikmati oleh penasihat ekonomi negeri dan berapakah perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri?
- Menasihatkan Kerajaan Negeri berhubung dengan dasar pembangunan ekonomi negeri khususnya yang berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, pengagihan kekayaan dan peningkatan kualiti hidup rakyat Selangor sesuai dengan falsafah MES;
- Menasihatkan Kerajaan negeri mengenai hala tuju, perancangan dan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi negeri supaya pakej ini benar-benar menjadi jentera pertumbuhan yang menjadikan ekonomi negeri Selangor lestari dan mampan;
- Menasihatkan Kerajaan Negeri berhubung dengan aliran langsung modal asing (FDI) dengan hasrat menjadikan negeri Selangor negeri terulung dalam menarik pelaburan asing yang menjadi penjana utama ekonomi negeri;
- Menasihatkan kerajaan Negeri berkaitan dengan jenis industri yang perlu dijana supaya negeri Selangor terus menjadi negeri pilihan untuk membangunkan industri berteknologi tinggi berpaksikan ilmu pengetahuan selain daripada memberi perhatian kepada industri perkhidmatan;
- Menasihatkan kerajaan Negeri berhubung dengan cadangan menjadikan Selangor khususnya Shah Alam sebagai hub kewangan dan pelaburan modal yang menepati kehendak syariah (Syariah compliant) bertaraf antarabangsa termasuk pembangunan hub halal serantau;
- Menasihatkan kerajaan Negeri berhubung dengan perkara-perkara besar yang melibatkan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan terutama yang berhubung kait dengan pembangunan ekonomi negeri; dan
- Menasihatkan kerajaan negeri tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi menguruskan kerjasama di antara negeri-negeri bagi memungkinkan wujudnya blok ekonomi yang akan memberi manfaat kepada semua
-
Apakah DatoÕ Menteri Besar dan barisan EXCO yang dilantik oleh DYMM Sultan Selangor tidak berupaya mentadbir ekonomi negeri?
- Tindakan melantik Penasihat Ekonomi ini adalah bagi memperkasakan ekonomi negeri Selangor. Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan bekas Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri yang menerima pengiktirafan dari Euromoney dan Asiamoney. Beliau juga telah dijemput menasihat pelbagai kerajaan dan syarikat di seluruh dunia dalam bidang pelaburan dan perbankan
Amalan melantik penasihat ini bukanlah sesuatu yang baru dan dibuat di seluruh dunia, termasuk bagi Kerajaan Persekutuan di Malaysia.
-
Apakah impak segera dan kejayaan yang telah dicapai oleh penasihat ekonomi negeri setakat ini?
- YB Penasihat Ekonomi telah memberikan tumpuan awal kepada bidang-bidang yang dikira mempunyai impak ekonomi dan kebajikan yang besar kepada rakyat dan
Oleh itu, YB Penasihat Ekonomi telah terbabit secara langsung dengan usaha-usaha untuk mengungkai kekusutan rundingan pengambilalihan konsesi air oleh Kerajaan Negeri dengan pemegang-pemegang konsesi, dengan tujuan memastikan hak rakyat dan Kerajaan Negeri terjamin.
Setakat ini, Kerajaan Negeri telah pun bersedia dengan langkah seterusnya selepas Kerajaan Persekutuan gagal mendapatkan persetujuan pemegang konsesi air di Lembah Klang.
YB Penasihat Ekonomi juga telah mengambil kesempatan dari pelbagai lawatan luar negara atas jemputan badan-badan antarabangsa untuk bertemu dengan pelabur serta wakil institusi kewangan antarabangsa.
Fokus utama beliau adalah untuk mewujudkan minat institusi kewangan antarabangsa kepada potensi Selangor bagi tujuan pelaburan; yang seterusnya akan dapat memastikan kadar pembiayaan yang lebih rendah apabila Kerajaan Negeri perlu membiayai projek besar yang memerlukan suntikan modal yang besar.
YB Penasihat Ekonomi juga mengambil pendekatan membawa beberapa isu kebajikan rakyat untuk dijadikan fokus oleh Kerajaan Negeri. Setakat ini, YB Penasihat Ekonomi telah bekerja rapat dengan YAB Dato’ Menteri Besar untuk mencari pendekatan terbaik mempercepatkan pemulihan projek-projek perumahan terbengkalai di Selangor; yang diwarisi dari Barisan Nasional.
Satu lagi fokus utama YB Penasihat Ekonomi adalah membantu melicinkan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri dan menghubungkan masalah rakyat secara terus kepada Kerajaan Negeri. Satu contoh penglibatan terus YB Penasihat Ekonomi di dalam aspek ini adalah tumpuan yang diberikan untuk menyelesaikan segera beberapa masalah perumahan rakyat melalui lawatan-lawatan mengejut, contohnya ke Desa Mentari dalam bulan Januari 2010. Sehingga kini, sebahagian masalah-masalah yang dibawa oleh penduduk Desa Mentari telah diselesaikan dan beberapa yang lain sudah pun diambil tindakan.
YB Penasihat Ekonomi juga memainkan peranan utama memacu usaha penambahbaikan Skim Air Percuma untuk memastikan golongan yang paling memerlukan (iaitu penduduk flat kos rendah) juga dapat menikmati rebat air yang diberikan Kerajaan Negeri. Setakat ini, cadangan penambahbaikan telah pun disiapkan oleh Pejabat Penasihat Ekonomi dan dipersetujui secara dasarnya oleh YAB Menteri Besar sementara menunggu untuk dilaksanakan secepat mungkin.
YB Penasihat Ekonomi juga memberi perhatian kepada usaha-usaha memberi nilai kepada tanah-tanah milik Kerajaan Negeri atau agensi Kerajaan Negeri yang sedia ada. Ini termasuklah pembabitan beliau membawa masuk syarikat pertanian besar dunia untuk memastikan hasil pertanian Selangor dapat dipasarkan dengan baik di seluruh dunia dan pada masa yang sama memberi nilai kepada tanah-tanah tersebut. Salah satu syarikat tersebut adalah Dole Inc, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Saham New York yang merupakan syarikat pengeluar buah-buahan terbesar di dunia. Usaha yang serupa akan terus diambil oleh Pejabat Penasihat Ekonomi untuk membawa sektor pertanian di negeri Selangor ke tahap yang lebih baik.