Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

301) PENARIKAN PELABURAN ASING MELALUI KONVENSYEN NEGERI

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tahap keberhasilan konvensyen-konvensyen seperti Selangor International Halal Convention 2024 dan Selangor Smart City & Digital Economy Convention 2024, terutamanya dari sudut penarikan pelaburan langsung asing (FDI) ke Negeri Selangor?

    Selangor International Halal Convention (SELHAC) 2024 berperanan penting dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Negeri Selangor melalui beberapa aspek berikut:

    • Peningkatan Profil Selangor sebagai Hab Halal Antarabangsa: Dengan penganjuran SELHAC, Selangor mempromosikan ekosistem Halal yang kompetitif, menarik minat pelabur asing yang ingin memanfaatkan peluang dalam industri Halal.

     

    • Platform Jaringan untuk Pelabur dan Usahawan Tempatan: SELHAC menyediakan peluang untuk pelabur asing bertemu dengan usahawan tempatan, membuka ruang kepada potensi kerjasama strategik dan padanan perniagaan. Sesi pertemuan ini memudahkan pelabur mengenali lebih dekat peluang-peluang di Selangor.

     

    • Menarik Minat FDI dalam Industri Halal yang sedang berkembang: Tema SELHAC pada tahun ini adalah dengan memberi fokus kepada:-
      1. Mempercepatkan Pensijilan Halal bagi PKS;
      2. Mengoptimumkan Rantaian Bekalan Logistik Halal; dan
    • Membudayakan Inovasi Digital Halal Logistik, dan Inovasi Digital.

    Tema-tema ini menggariskan komitmen SELHAC ke arah memajukan sektor Halal melalui inovasi, pensijilan dan logistik yang efektif, menyediakan platform bagi dialog dan kolaborasi di antara pemimpin industri, penggubal dasar, jaringan akademik dan pelbagai pemegang taruh yang lain.

    SELHAC juga menyaksikan penandatanganan enam Memorandum Persefahaman (MOU) :-

     

    1. HIS Toyyiba Sdn Bhd (HIS) dan Port Klang Free Zone
    2. HIS Toyyiba Sdn Bhd (HIS) dan Malaysia Entrepreneurship Ecosystem Data Centre (Meedc)
    • HIS Toyyiba Sdn Bhd (HIS) dan Nanoverify Sdn Bhd
    1. HIS Toyyiba Sdn Bhd (HIS) dan CM Plus Corporation
    2. D’Tandoor Sdn Bhd dan Felda D’Saji Sdn Bhd (RM20,000,000.00)

    Ini menunjukkan komitmen yang kukuh dalam kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat. Potensi nilai transaksi yang diperoleh daripada tinjauan maklum balas pempamer hampir mencecah RM500,000.00, menunjukkan minat dan potensi perniagaan yang tinggi dalam industri halal.

     

    Selain itu, sesi padanan perniagaan yang berlangsung selama tiga hari ini telah meraih potensi nilai transaksi hampir mencecah RM 50,000,000.00, yang jelas menunjukkan keberkesanan program ini dalam mencipta peluang perniagaan. Program ini turut dihadiri oleh 12 pembeli dan wakil dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Thailand, Oman, United Kingdom, Kanada dan Amerika Syarikat, yang mencerminkan potensi pasaran luas untuk produk dan perkhidmatan halal.

     

    Dengan semua pencapaian ini, SELHAC 2024 jelas berperanan sebagai platform penting dalam mempromosikan industri Halal di peringkat domestik dan antarabangsa. Hal ini akan terus meyakinkan pelabur asing tentang komitmen Selangor untuk memimpin industri Halal, yang memberi potensi pulangan tinggi kepada pelaburan asing.

     

    Penganjuran Selangor Smart City & Digital Economy Convention (SDEC) 2024 telah berjaya menarik pelbagai syarikat teknologi, pemimpin industri, dan pelabur dari dalam dan luar negara, menjadikannya platform utama untuk kolaborasi dan perkembangan teknologi pintar, termasuk sektor semikonduktor yang semakin penting. Dengan peningkatan peserta dan penyertaan antarabangsa, konvensyen ini memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab teknologi serantau sambil mempromosikan digitalisasi perniagaan, khususnya bagi SME. Selain mencetuskan peluang pelaburan baru, SDEC 2024 turut menumpukan pada pemerkasaan industri semikonduktor serta memberi pendedahan kepada teknologi terkini seperti AI, IoT, memberi impak besar kepada ekonomi digital Selangor.

  2. Selain aspek FDI, bagaimanakah kedua-dua konvensyen ini telah mempengaruhi status pasaran kewangan domestik untuk Negeri Selangor setakat ini?

    Status Pasaran Kewangan Domestik merujuk kepada keadaan dan prestasi keseluruhan pasaran kewangan sesebuah negara. Ini merangkumi pelbagai aspek seperti:

     

    1. Indeks Pasaran: Prestasi pasaran saham, pasaran bon, dan instrumen kewangan lain;
    2. Petunjuk Ekonomi: Metrik seperti KDNK, kadar pengangguran, inflasi, dan keyakinan pengguna yang mencerminkan kesihatan ekonomi;
    3. Kestabilan Kewangan: Keupayaan institusi dan pasaran kewangan untuk menyediakan sumber dan perkhidmatan yang diperlukan kepada isi rumah, perniagaan, dan komuniti;
    4. Persekitaran Peraturan: Peraturan dan undang-undang yang mengawal aktiviti kewangan dalam negara; dan
    5. Kecairan Pasaran: Kemudahan untuk membeli dan menjual aset tanpa memberi kesan yang ketara pada harga.

     

    Faktor-faktor ini secara kolektif membantu dalam memahami persekitaran ekonomi dan membuat keputusan yang tepat berkaitan pelaburan dan pembentukan dasar.

     

    Selangor International Halal Convention (SELHAC) 2024 telah dianjurkan sebagai platform yang berperanan penting dalam mengembangkan ekosistem Halal di negeri Selangor, menarik pelaburan domestik dan antarabangsa serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri. Dengan penyertaan luas dari pelbagai sektor industri Halal, SELHAC 2024 telah memberi impak yang signifikan kepada status pasaran kewangan domestik Selangor.

     

    1. Pengukuhan Keyakinan Pelabur melalui Program Padanan Perniagaan

     

    Program padanan perniagaan yang dianjurkan sepanjang SELHAC 2024, dari 17 hingga 19 Oktober, telah meraih potensi nilai transaksi hampir mencecah RM50,000,000.00. Ini merangkumi urus niaga antara 14 pembeli dan 75 penjual dari pelbagai negara seperti Malaysia, Kanada, UK, Thailand, Oman dan Amerika Syarikat.

     

    Di samping itu, hasil daripada tinjauan maklum balas pempamer menunjukkan potensi nilai transaksi tambahan hampir RM500,000.00, mencerminkan minat dan potensi perniagaan yang tinggi dalam industri Halal. Keseluruhan nilai transaksi ini memperkukuhkan keyakinan pelabur terhadap potensi pasaran Halal di Selangor, serta menyumbang kepada aliran modal dalam pasaran kewangan domestik.

     

    1. Sumbangan Industri Halal kepada KDNK dan Kedudukan Selangor sebagai Hab Utama

     

    Industri Halal di Malaysia menyumbang 7.5% kepada KDNK negara dengan nilai pendapatan keseluruhan sektor ini mencapai RM303.6 bilion. Negeri Selangor, yang menyumbang 60% kepada KDNK Malaysia, memainkan peranan penting sebagai hab ekonomi Halal di negara ini. SELHAC 2024 mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing dalam industri Halal. Ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kewangan negeri dalam sektor Halal tetapi juga merangsang kecairan pasaran domestik di Selangor.

     

    • Kepentingan Syarikat Halal dalam Menyokong Ekonomi Negeri Selangor

     

    Pada tahun 2023, terdapat 8,272 syarikat yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi semua kategori industri di Malaysia, dengan lebih daripada 5,000 syarikat iaitu 60% adalah dari Negeri Selangor. Lebih dari 88.32% syarikat-syarikat ini terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PMKS), yang menunjukkan peranan penting PMKS dalam menggerakkan ekonomi Halal di Selangor. SELHAC 2024 menyediakan platform untuk syarikat-syarikat ini memperluaskan jangkauan mereka kepada pasaran antarabangsa, yang memberi impak positif kepada status kewangan Selangor dengan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

    Sumber : Halal International Selangor & Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC)

Lampiran

Tiada Lampiran.