Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009
23) PENANGKAPAN ANJING LIAR
Tahun: 2009
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kaedah atau prosedur yang diguna pakai oleh pihak kontraktor bagi tujuan penangkapan anjing liar di semua PBT?
Masalah anjing liar masih lagi terdapat di Negeri Selangor dan sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor melantik pihak kontraktor untuk menangkap anjing liar di kawasan masing-masing dan terdapat juga menggunakan pekerja majlis sendiri untuk tujuan penangkapan. Penangkapan anjing terbiar boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:
- Kaedah Gelung – penggunaan gelung yang diikat di hujung sebatang kayu/aluminium untuk menangkap anjing terbiar
- Kaedah Sangkar– penggunaan sangkar dengan umpan untuk memerangkap atau menangkap anjing
- Kaedah senapang penenang (Traquilizer gun)– penggunaan senapang penenang pelali (penggunaan senapang ini memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan)
- Kaedah jaring– penggunaan jaring ini untuk memerangkap atau menangkap anjing
Spesifikasi untuk kaedah-kaedah di atas boleh di dapati di Jabatan Veterinar di mana khidmat nasihat boleh diberi sekiranya terdapat apa-apa kemusykilan semasa menjalankan penangkapan atau memerangkap anjing-anjing terbiar. Semasa menangkap, tidak boleh sama sekali membuat bising atau mengganggu lalu lintas atau kacau ganggu terhadap masyarakat umum. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri akan menggubal satu garis panduan yang baru untuk semua PBT di Selangor.
-
Apakah kaedah yang digunakan untuk menghapuskan anjing liar(sama ada secara suntikan, tembakan atau sebarang kaedah lain)?
Kaedah yang diguna pakai bagi menghapuskan anjing liar di Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor ialah melalui suntikan bahan kimia Dorminal terhadap anjing-anjing yang ditangkap. Selain itu, terdapat juga sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan yang tidak menghapuskan anjing liar yang ditangkap melainkan menyerahkan semua anjing liar yang ditangkap kepada PAWS (Animal Welfare Society) untuk penjagaan/penghapusan. Semua anjing yang akan dimusnahkan hendaklah dijalankan secara berperikemanusiaan. Eutanasia (put into sleep injection akan menyebabkan kematian) ke atas anjing yang sakit atau cedera yang tidak boleh diselamatkan dengan cara rawatan hendaklah dijalankan dengan sertamerta. Eutanasia ke atas anjing hendaklah dijalankan oleh pegawai veterinar yang berdaftar. Semua karkas (bangkai) hendaklah dilupuskan dengan cara ditanam atau dibakar menggunakan “incinerator”. Semua penanaman karkas hendaklah mengikut kaedah-kaedah kawalan pencegahan penyakit seperti penggunaan kapur, disinfectant dan lain-lain.