Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
304) PENANAMAN PADI OLEH WARGA ASING
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sehingga kini, apakah langkah yang diambil Kerajaan Negeri untuk mengekang isu warga asing yang mengusahakan tanaman padi di negeri ini?
Pihak Kerajaan Negeri tidak pernah membenarkan warga asing yang datang ke Negeri Selangor untuk mengusahakan tanaman padi. Mereka hanyalah pekerja yang dibenarkan untuk membantu majikan tempatan bagi menjalankan aktiviti persawahan. Pemantauan berkala dilaksanakan oleh pihak Jabatan bagi memastikan tiada warga asing yang mengusahakan tanaman padi di negeri ini. Sekiranya ada, pihak Jabatan akan memaklumkan terus kepada pihak Imigresen untuk diambil tindakan.
Permohonan pekerja asing oleh majikan / syarikat adalah tertakluk kepada kelulusan kuota dari Pusat Kelulusan Setempat (OSC), Kementerian Sumber Manusia (KSM). Proses kerja bagi permohonan pekerja asing melibatkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Kementerian Sumber Manusia (KSM), pelbagai agensi di One Stop Centre (OSC), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
Merujuk kepada Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx), Penggajian Pekerja Asing di Malaysia untuk tanaman padi adalah berdasarkan kriteria kelayakan Sektor Pertanian dan norma bilangan Pekerja Asing untuk Seksyen Tanaman Padi bagi Sistem Mencedung dengan jentera, nisbah keluasan tanah dan pekerja ialah 1 orang pekerja untuk 7 hektar, manakala nisbah bagi Sistem Tabur Terus ialah 1 orang pekerja untuk 5 hektar.
Pekerja asing yang dikeluarkan Pas Lawatan (Kerja Sementara) – PL(KS), PL(KS) turut dibekalkan dengan Kad Akuan Diri Pekerja Asing Berwarna (i-Kad). Pengeluaran i-Kad mengikut sektor pekerjaan yang dibenarkan di Negara ini dan warna untuk Sektor Pertanian adalah Hijau. Tindakan yang boleh diambil jika tiada, mohon rujuk Jabatan Imigresen.
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk memastikan golongan belia tempatan kembali menceburi bidang pertanian khususnya tanaman padi?
Insentif Kerajaan Negeri untuk mempastikan golongan belia tempatan kembali menceburi bidang pertanian khususnya tanaman padi adalah dengan mempastikan ianya akan memberikan pulangan atau pendapatan yang baik kepada mereka melalui penggunaan teknologi moden dan mudah seperti penggunaan jentera dan peralatan yang bersesuaian. Pengenalan program Farmers Field School (FFS) kepada golongan belia bagi menyalurkan maklumat dan ilmu teknikal telah bermula sejak tahun 2016.
Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1.5juta / tahun bagi insentif peningkatan hasil padi.