Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011
54) PENAMBAHBAIKAN PENTADBIRAN DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2011
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Dalam penambahbaikan pentadbiran di negeri Selangor terdapat kurang kerjasama antara jabatan dengan jabatan yang lain. Apakah langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi masalah ini.
Jabatan/Agensi Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sentiasa saling berhubungan dan berinteraksi di antara satu sama lain di dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan. Kerjasama dari segi perkongsian maklumat terutamanya daripada pelaksanaan keputusan-keputusan yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri Selangor sering dilakukan secara bersama melalui medium penyampaian dan pengukuhan sedia ada Kerajaan Negeri. Perkara-perkara yang diputuskan melalui Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Selangor akan dibawa kepada perhatian dan tindakan oleh semua Jabatan/Agensi melalui Mesyuarat Pengurusan Ketua-Ketua Jabatan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri di mana keanggotaannya adalah terdiri daripada ketua- ketua jabatan/agensi di Negeri Selangor termasuk jabatan/agensi Kerajaan Persekutuan.
Di samping itu juga, perkara-perkara yang menjurus kepada urusan pentadbiran tanah dan penyampaian perkhidmatan di Pihak Berkuasa Tempatan akan dibincang dan diperhalusi dengan lebih teliti dan terperinci melalui Mesyuarat Penyelarasan Pentadbiran Tanah/Daerah dan Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri di mana keanggotaannya adalah terdiri daripada Datuk Bandar/Yang Di Pertua Pihak Berkuasa Tempatan dan Pegawai-Pegawai Daerah.
Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor juga sentiasa mengambil langkah yang proaktif dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam dengan menggalakkan penglibatan wakil-wakil dari sektor swasta sebagai ahli tetap di dalam Mesyuarat PEMUDAH Selangor. Objektif utama mesyuarat ini adalah untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri Selangor supaya mencapai penandaarasan antarabangsa, berteraskan pelanggan, berinovatif dan proaktif dalam menyokong ekonomi yang berdaya saing. Fokus penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan adalah dalam menangani isu-isu pelaksanaan dasar dan kecekapan perkhidmatan awam.
Bagi memperkukuhkan lagi struktur sistem pengurusan pentadbiran awam, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus Negeri (JKTU) yang memberi fokus kepada pengukuhan kualiti sistem penyampaian Perkhidmatan Awam berteraskan aspek integriti. Setiap jabatan/agensi juga turut melaksanakan mesyuarat JKTU Peringkat Jabatan/Agensi masing-masing dan membentangkan sebarang isu-isu pemantapan
keutuhan sistem pengurusan pentadbiran, peningkatan tadbir urus terbaik dan usaha-usaha pengurangan karenah birokrasi kepada JKTU Negeri.
Walau bagaimanapun, pentadbiran kerajaan negeri masih sentiasa mengalu-alukan sebarang medium dan mekanisme penambahbaikan daripada semua pihak yang boleh memberikan manfaat dalam memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam Negeri Selangor yang sedia ada.