Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
213) PENAMBAHBAIKAN INFRASTRUKTUR ASAL DI KAWASAN PEMBANGUNAN BARU YANG PADAT
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah terdapat skop penambahbaikan terhadap infrastruktur asal di dalam Pelan Kebenaran Merancang / Pelan Infrastruktur dalam usaha Kerajaan Negeri memastikan pembangunan infrastruktur yang sedia ada selaras dengan pembangunan perumahan yang baru?
Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sering menilai keperluan penambahbaikan pembangunan untuk memastikan infrastruktur sedia ada dapat menyokong pembangunan perumahan yang baharu di kawasan PBT. Terdapat beberapa skop penambahbaikan terhadap infrastruktur asal dalam Pelan Kebenaran Merancang atau Pelan Infrastruktur yang akan disyaratkan kepada pemaju. Antara aspek-aspek yang biasanya diberi perhatian adalah:
- Memastikan bahawa infrastruktur seperti jalan, bekalan air dan sistem pembetungan dapat menampung peningkatan jumlah penduduk;
- Memperbaiki jalan dan laluan pejalan kaki untuk keselamatan penduduk dan kemudahan aksesibiliti kepada pengangkutan awam;
- Meningkatkan kemudahan pengangkutan awam untuk menghubungkan kawasan baharu dengan pusat bandar;
- Menyediakan ruang terbuka dan kawasan hijau dalam perancangan infrastruktur; dan
- Mengambil kira pandangan dan keperluan penduduk setempat dalam merancang penambahbaikan infrastruktur;
Proses ini melibatkan analisis mendalam dan perancangan strategik untuk memastikan bahawa setiap projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan baik dan memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat. Selain itu juga, setiap pembangunan dikenakan caj pemajuan kepada Tabung Amanah Infrastruktur (ISF) kepada Majlis bagi tujuan kerja-kerja menaiktaraf infrastruktur oleh pihak PBT.