Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

389) PENAMBAHAN SEKOLAH DI KAWASAN DUN SUNGAI KANDIS

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pelajar Dun Sungai Kandis terpaksa ke sekolah di kawasan Dun Kota Kemuning akibat kepadatan pelajar di kawasan Sg Kandis. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk menambah jumlah sekolah rendah dan menengah di kawasan Dun Sungai Kandis bagi menampung permintaan yang sangat tinggi ini? Dimanakah kawasan-kawasan yang akan dibangunkan sekolah baru itu?

    JPN Selangor sentiasa komited dalam usaha meningkatkan akses pendidikan melalui penyediaan prasarana dan kemudahan infrastruktur pendidikan kepada semua murid di seluruh negara. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPN Selangor telah mengemukakan cadangan pembinaan SMK Johan Setia dalam RMKe-12 RP3 Tahun 2023 dan telah diluluskan oleh agensi pusat yang akan dilaksanakan oleh pihak JKR.. Buat masa ini, projek ini masih dalam peringkat reka bentuk awal.

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi menampung pertambahan enrolmen murid di sekolah kawasan sekitar, JPN Selangor telah mengemukakan permohonan perolehan tanah bagi cadangan pembinaan sekolah berikut;

    • SK Desa Latania dalam RMKe-12 RP4 tahun 2024
    • SK Bandar Puteri dalam RMKe-12 RP5 tahun 2025.

    Pembinaan sekolah rendah baharu di Bandar Putera telah dicadangkan untuk pertimbangan dan kelulusan agensi pusat dalam RMKe-12 RP5 tahun 2025. Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek ini tertakluk kepada kelulusan agensi pusat, keutamaan dan kedudukan kewangan Kerajaan.

    JPN Selangor meyakini bahawa melalui langkah yang sedang dilaksanakan ini akan membantu mengurangkan ,isu kepadatan sekolah di kawasan Sungai Kandis. Oleh itu diharap Kerajaan Negeri dapat membantu dalam mempercepatkan proses pertukaran tanah  kepada PTP dikawasan ini disamping memastikan tiada pencerobohan berlaku ditanah berkenaan.

  2. Sekiranya tiada apa-apa perancangan daalm jarak masa terdekat, apakah solusi Kerajaan Negeri bagi masalah ini khususnya bagi keluarga yang kurang kemampuan yang terpaksa mengeluarkan kos berlebihan kerana menghantar anak-anak ke sekolah kawasan yang jauh?

    Bagi menampung pertambahan enrolmen murid di sekolah kawasan sekitar, JPN Selangor telah mengemukakan permohonan perolehan tanah bagi cadangan pembinaan sekolah berikut:

    1. SK Desa Latania dalam RMKe-12 RP4 tahun 2024
    2. SK Bandar Puteri dalam RMKe-12 RP5 tahun 2025.
    3. SMK Alam Impian dalam RMKe-12 RP5 tahun 2025.

    Pembinaan sekolah rendah baharu di Bandar Putera telah dicadangkan untuk pertimbangan dan kelulusan agensi pusat dalam RMKe-12 RP5 tahun 2025. Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek ini tertakluk kepada kelulusan agensi pusat, keutamaan dan kedudukan kewangan Kerajaan.

    JPN Selangor juga telah mengambil inisiatif untuk memohon perolehan tanah bagi tapak rizab pendidikan melalui Projek RMKe-12 RP5 di sekitar Alam Impian yang mana jarak diantara kawasan Sungai Kandis adalah sejauh 3.8km.

    Cadangan pembinaan SMK Johan Setia dalam RMKe-12 RP3 Tahun 2023 dan telah diluluskan oleh agensi pusat yang akan dilaksanakan oleh pihak JKR. Buat masa ini, projek ini masih dalam peringkat reka bentuk awal.

    Antara sekolah di kawasan DUN Sg Kandis ialah SK Teluk Menegun, SMAT Sultan Hishamuddin, SK Taman Sri Andalas, SMK Sri Andalas, SJKT Simpang Lima, SK Jalan Kebun, SK Kg Johan Setia, SK Bukit Naga, SMK Jalan Kebun, SK Kg Jawa, SMK Kg Jawa, SMK Shahbandaraya. Kebanyakan sekolah berkenaan merupakan sekolah padat di DUN berkenaan dan beroperasi secara dua sesi pada kapasiti maksimum (kapasiti murid diantara 40 – 45 per kelas).

    Pihak sekolah telah disarankan untuk menggunakan bilik-bilik khas yang terdapat di sekolah untuk digunakan sebagai bilik darjah bagi mengurangkan kepadatan murid di dalam kelas.

    Selain itu, pihak sekolah juga telah dinasihati oleh Pejabat Pendidikan Daerah untuk memohon pertambahan bangunan/bilik darjah/kabin bagi membantu meminimumkan jumlah murid dalam kelas.

Lampiran

Tiada Lampiran.