Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

164) PENAMBAHAN RUMAH SELANGORKU DAN RUMAH IDAMAN DI DAERAH SEPANG

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Adhif Syan Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk menambah projek perumahan Rumah SelangorKu dan Rumah Idaman di Daerah Sepang?

    Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga 31 Januari 2022, sebanyak 42 projek yang melibatkan 21,063 unit Rumah Selangorku telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Daerah Sepang. Daripada jumlah tersebut, 10 projek dengan 4,367 unit sudah siap dibina, sebanyak 7 projek yang terdiri daripada 2,859 unit sedang dalam pembinaan dan 25 projek bersamaan 13,837 unit masih dalam peringkat perancangan. Bagi pembangunan Rumah Idaman MBI pula, sehingga 31 Januari 2022, sebanyak 7 projek yang terdiri daripada 16,022 unit telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri melalui MMKN di Daerah Sepang. Daripada jumlah tersebut hanya 1 projek dengan 1,448 unit sedang dalam pembinaan manakala 6 projek yang melibatkan 14,574 unit masih dalam peringkat perancangan. Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 27 permohonan untuk melaksanakan projek Rumah IDAMAN di seluruh Negeri Selangor dan akan meneliti dan mempertimbangkan permohonan-permohonan baru untuk melaksanakan projek Rumah IDAMAN tersebut.

  2. Adakah Kerajaan Negeri terkesan dengan kenaikan kos harga barang binaan dan berapakah kos terkini bagi Rumah SelangorKu dan Rumah Idaman seunit?

    Untuk makluman Yang Berhormat, tidak dapat dinafikan sejak penularan wabak Covid-19 melanda negara pada Tahun 2020 sehingga sekarang telah memberi kesan kepada industri pembinaan. Ini menyebabkan harga bahan binaan seperti besi, pasir, simen dan rantaian yang berkaitan dengan pembinaan telah meningkat secara puratanya kepada 9.21 peratus. (Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, 10 Februari 2022). Namun begitu, Kerajaan Negeri tetap meneruskan harga jualan maksimum bagi Rumah Selangorku dan Rumah Idaman di antara RM200,000 hingga RM250,000 seunit (standart) bagi memastikan kepentingan dan kemampuan rakyat memiliki rumah diberikan keutamaan

Lampiran

Tiada Lampiran.