Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

18) PENAMBAHAN MAJLIS PENGURUSAN KOMUNITI KAMPUNG (MPKK) DI TELOK GONG, PELABUHAN KLANG

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini permohonan penambahan majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) di Kampung Telok Gong?

    Kampung Telok Gong berkeluasan 2,419.50 hektar dengan anggaran penduduk berjumlah 22,000 orang, mempunyai lima (5) kampung rangkaian iaitu Kampung Nelayan, Kampung Tengah, Kampung Perajurit, Kampung Hamid Tuah dan Kampung Baru. Ia turut mempunyai kawasan industri penuh yang dikenali sebagai Telok Gong Indah. Setiap kampung rangkaian ini dipisahkan oleh jalan, sempadan antara lot atau parit tali air. Setiap kampung rangkaian dilihat mempunyai keperluan untuk mempunyai pemimpin dan pengurusan kampung tersendiri bagi membolehkan urus tadbir kampung lebih tersusun dan cekap. Berhubung status MPKK baharu di Kampung Telok Gong, Kerajaan Negeri berpendapat bahawa tiada keperluan pengwujudan MPKK baharu tersebut pada masa ini memandangkan MPKK sedia ada telah memadai untuk melaksanakan tugas-tugas pentadbiran kampung. Selain itu, terdapat implikasi kewangan tambahan yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri seperti pembayaran elaun Pengerusi dan Setiausaha MPKK, elaun mengadakan mesyuarat MPKK, elaun menghadiri mesyuarat dan lain-lain sekiranya MPKK baharu diwujudkan.

  2. Adakah permohonan tersebut akan diluluskan dengan mengambil kira keperluan mendesak peningkatan penduduk yang semakin ramai di kampung telok gong pada masa ini?

    Kerajaan Negeri berpandangan bahawa perkara ini perlu dikaji dengan lebih mendalam terhadap keperluan dan kesan sekiranya pemecahan kampung dilaksanakan. Memandangkan sebahagian kawasan Kampung Telok Gong adalah merupakan kawasan perindustrian. Dikhuatiri sekiranya pemecahan kampung dilaksanakan peratus kawasan pertanian akan menjadi semakin kecil dan tidak memenuhi kriteria kampung tradisi.

    Kerajaan Negeri juga berpandangan, masalah pengurusan boleh ditangani melalui penyelarasan dan strategi yang lebih baik di antara Pejabat Daerah/Tanah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan MPKK Kampung Telok Gong. Justeru itu, perkara ini perlu dikaji semula dan perhatian perlu diberi kepada kampung-kampung lain yang lebih memerlukan.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan terus membuat pemantauan dari masa ke semasa berkenaan keperluan pengwujudan MPKK baharu di Kampung Telok Gong dan tindakan akan diambil mengikut kesesuaian dan keperluan semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.