Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
278) PENAIKTARAFAN PERPUSTAKAAN DESA ASSAM JAWA
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah pihak Kerajaan Negeri bercadang untuk membaikpulih perpustakaan Awam di Kampung Assam Jawa yang telah usang dan uzur?
Perpustakaan Desa Assam Jawa adalah di bawah seliaan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan peruntukan bagi menaik taraf dan menyelenggara perpustakaan tersebut adalah di bawah tanggungjawab PNM. Namun demikian pihak PPAS akan mencadangkan kepada pengurusan PNM untuk memberikan keutamaan pembaikan kepada mana-mana perpustakaan di bawah seliaan mereka.
Pihak PPAS telah menaiktaraf beberapa Perpustakaan Desa yang berada di daerah Kuala Selangor dan berhampiran dengan Assam Jawa seperti Perpustakaan Desa Kg Parit Mahang (2014), Perpustakaan Desa Ijok (2017) dan Perpustakaan Desa Jeram (2018). PPAS juga akan menaik taraf Perpustakaan Daerah Kuala Selangor pada Mac 2025 tahun ini.
-
Bagaimana kerajaan negeri memastikan fasiliti serta koleksi buku dan bahan bacaan di Perpustakaan Desa ini sentiasa dikemaskini dengan bahan yang relevan dan terkini?
Kerajaan Selangor telah mengambil pendekatan memastikan fasiliti dan koleksi buku dan bahan bacaan sentiasa dikemaskini dengan menaiktaraf perpustakaan (penjenamaan semula) dengan gaya moden kontemporari dan konsep rekabentuk susunatur dalaman terbuka (open concept) yang mencetuskan persekitaran yang lebih santai dan mesra (welcoming). Sebagai contoh:
- Susunan rak buku diletakkan di dinding untuk mewujudkan suasana yang lebih luas, dalam masa yang sama memudahkan pemantauan
- Mewujudkan fasiliti tambahan seperti dewan, bilik mesyuarat dan bilik perbincangan yang dapat digunakan oleh masyarakat pelbagai lapisan dengan kadar harga minimum.
- Pemilihan perabot yang ringkas dan minimalis, bagi menimbulkan rasa selesa.
Apabila konsep berubah, masyarakat akan lebih merasa teruja untuk datang dan menggunakan fasiliti yang disediakan. Pewujudan fasiliti ini adalah bagi memberi peluang kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk merasai sendiri kemudahan baharu yang kini boleh didapati di perpustakaan.
Hasrat PPAS adalah perpustakaan dapat berfungsi sebagai “one stop centre” yang menyediakan pelbagai fasiliti di bawah satu bumbung dan memudahkan masyarakat sekeliling.
Bagi meneruskan fungsi perpustakaan sebagai sebuah gedung ilmu, pelbagai program dan aktiviti dirancang sepanjang tahun bagi menarik minat masyarakat untuk mengunjungi perpustakaan. Program-program ini dirangka mengikut pelbagai peringkat umur dengan penglibatan pelbagai agensi serta menyokong ekosistem pendidikan Selangor, merangkumi pembelajaran awal kanak-kanak, pembelajaran peringkat remaja dan belia, serta pembelajaran sepanjang hayat.