Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
259) PENAIKTARAFAN PASAR BORONG SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah peratus kemajuan projek penurapan semula jalan di Pasar Borong Selangor yang sepatutnya selesai pada Oktober 2024?
Untuk makluman, di Pasar Borong Selangor (PBS) di bawah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), tiada projek penurapan semula jalan dilaksanakan sebaliknya hanya menyelenggara dan membaiki struktur jalan yang rosak seperti jalan berlubang.
Setakat hari ini, lebih 80% jalan berlubang telah ditampal semula bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna serta memanjangkan jangka hayat jalan di PBS.
-
Apakah status kerja-kerja menaik taraf Pasar Borong Selangor setakat hari ini?
PKPS telah menjalankan tender terbuka secara Request For Proposal bagi pembangunan semula Pasar Borong Selangor pada 15 April 2024. Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PKPS pada 19 Ogos 2024 telah meluluskan pelantikan pemaju untuk projek yang akan diberi nama Terminal Agro Selangor (TAS).
Projek Pembangunan semula ini dijangka siap dalam tempoh dua (2) tahun dari tarikh kelulusan Pelan Pembangunan (DO) dari Pihak Berkuasa Tempatan. Konsep pembangunan TAS adalah lebih moden dengan fasiliti yang lengkap dengan gudang dan bersifat green building yang akan menggunakan Industrial Building System (IBS) dan mampu disiapkan dalam tempoh yang singkat dan lebih cepat.
Projek pembangunan ini tidak menjejaskan operasi Pasar Borong Selangor sedia ada bagi memastikan perniagaan penyewa sedia ada dapat diteruskan.
Pada masa ini, PKPS dan Pemaju sedang memuktamadkan Perjanjian Hak Pembangunan yang dijangka selesai pada Disember 2024.