Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
181) PEMUTIHAN PENCEROBOHAN TAPAK TANAH MILIK KERAJAAN
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah yang wajar jika didapati ada aktiviti pencerobohan tanah kerajaan berlaku di sesuatu tempat?
Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat, secara umumnya langkah-langkah yang wajar diambil jika didapati terdapat pencerobohan yang berlaku di atas tanah kerajaan di sesuatu tempat adalah dengan mengambil dan mengenakan tindakan tegas terhadap individu, syarikat atau mana-mana entiti yang didapati bersalah melakukan pencerobohan terhadap tanah-tanah kerjaan tersebut.
Antara contoh-contoh tindakan tegas yang boleh dikenakan kepada penceroboh adalah dengan mengenakan tindakan undang-undang atau mengambil sebarang tindakan yang terdapat dalam garis panduan yang disediakan, yang digunakan dan yang sedang berkuatkuasa. Implikasi daripada tindakan undang-undang yang bakal diambil terhadap penceroboh ini adalah, penceroboh boleh dikenakan denda yang mana tidak melebihi RM500,000.00 atau penjara untuk satu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali yang mana ianya selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828). Selain daripada denda dan hukuman penjara dikenakan terhadap penceroboh tersebut, tindakan kompaun atau tuntutan ganti rugi atau remedi tanah juga boleh dikenakan terhadap mana-mana penceroboh yang dikenalpasti melakukan kesalahan tersebut.
Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat juga, antara usaha-usaha atau initiatif yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTGS) dan juga Pejabat Tanah Daerah (PDT) seluruh Selangor bagi mengawal dan membendung masalah pencerobohan ini daripada terus berlaku adalah dengan melakukan beberapa jalinan kerjasama antara PTGS dan PDT dalam melaksanakan operasi bersepadu yang mana turut disertai oleh agensi-agensi lain yang berkaitan, penyelarasan tindakan penguatkuasaan satu negeri, penyediaan dan pemakaian garis panduan tindakan penguatkuasaan agar tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan dengan seragam, semakan semula pekeliling atau arahan yang telah lama agar ianya terus sentiasa releven untuk digunapakai sehingga kini dan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
Selain daripada itu juga, bagi memastikan segala tindakan penguatkuasaan ini wajar dan releven untuk terus dilakukan terhadap mana-mana aktiviti pencerobohan yang telah dikenalpasti, segala keputusan dan pandangan akan dibawa ke perhatian PBN melalui beberapa siri mesyuarat seperti Mesyuarat Peringkat Jabatan, Mesyuarat Peringkat Jawatankuasa, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) malah turut dibincangkan dan dibahaskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang menyeluruh atau konklusif dan terbaik.
-
Adakah sebarang proses mengenalpasti status tanah dan status aktiviti di atas tanah yang didapati diceroboh itu
Proses mengenalpasti status tanah dan status aktiviti di atas tanah yang didapati diceroboh. Antara proses-proses yang sering terlibat dalam mengenalpasti status-status tanah dan aktiviti yang diceroboh ini boleh dilakukan dengan membuat operasi kerja standard seperti melakukan semakan melalui pelan charting, salinan warta dan sebagainya terhadap mana-mana tanah atau lokasi yang didapati terdapat aktiviti pencerobohan berlaku. Tujuan semakan ini dilakukan adalah bagi memudahkan pegawai penyiasat untuk mengenalpati lokasi yang tepat dan jenis aktiviti pencerobohan yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab tersebut.
Selain daripada itu juga, antara proses-proses yang dilakukan dalam mengambil tindakan terhadap tanah-tanah yang diceroboh ini juga adalah melalui aduan yang adukan oleh masyarakat umum kepada jabatan ini atau mana-mana daerah dengan melalui pelbagai saluran aduan. Oleh yang demikian, segala siasatan, lawatan tapak dan tindakan penguatkuasaan boleh dimulakan apabila aduan telah diterima. Tambahan juga, terdapat banyak mekanisma lain yang turut dilakukan oleh Unit Penguatkuasa Seluruh Negeri Selangor dalam mengenalpasti aktiviti-aktiviti pencerobohan ini dengan melakukan rondaan, risikan, pemantauan, serbuan, tangkapan dan sebagainya.
-
Apakah jenis-jenis aktiviti yang biasa dilakukan di tanah-tanah tersebut?
Antara jenis-jenis aktiviti pencerobohan yang seringkali dilakukan terhadap tanah-tanah kerajaan tersebut boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis pencerobohan. Sebagai contoh, mana-mana pencerobohan yang melibatkan tanaman kontan di bahu jalan seperti tanaman pokok pisang, pokok serai, pokok jagung dan sebagainya boleh dikelaskan sebagai pencerobohan berskala kecil. Tambahan juga, antara aktiviti-aktiviti pencerobohan yang boleh dikelaskan sebagai berskala besar, adalah seperti terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menanam tanaman kekal seperti pokok kelapa, pokok kelapa sawit, pokok durian dan sebagainya, malah yang lebih membimbangkan adalah apabila penceroboh ini yang turut mendirikan struktur-struktur kekal seperti rumah kediaman, bengkel, gudang, stor simpanan, bangunan perniagaan dan sebagainya.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, selain pembinaan struktur-struktur kekal di atas tanah kerajaan tersebut, terdapat penceroboh yang melakukan pengorekkan dan pengeluaran atau mencuri bahan batuan atau sumber mineral tanpa mendapat kebenaran yang sah daripada pihak PBN. Perkara ini juga adalah dikategorikan sebagai pencerobohan tanah kerajaan. Oleh yang demikian segala kesalahan yang dinyatakan diatas boleh diambil tindakan undang-undang dibawah Seksyen 425 dan 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828) serta Enakmen Mineral Selangor atau mana-mana peruntukan undang-undang yang sedia ada dan sedang berkuatkuasa.