Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

116) PEMUTIHAN KILANG-KILANG TANPA KELULUSAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri akan melanjutkan program pemutihan kilang-kilang tanpa kelulusan?

    Seperti yang pernah dimaklumkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat semasa Sidang Dewan sebelum ini, pelaksanaan program pemutihan atau penyelesaian kilang tanpa kebenaran (KTK) di Negeri Selangor sejak 31 Julai 2006 telah disambung sebanyak tujuh (7) kali sehingga ia telah ditamatkan sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) pada 31 Disember 2020. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri tidak akan melanjutkan pelaksanaan program tersebut. Sebaliknya, tumpuan PBN kini adalah terhadap inisiatif Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan perundangan dan garis panduan SOP yang telah disediakan merujuk kepada bidang kuasa masing-masing. Beberapa siri mesyuarat Jawatankuasa Khas Penyelesaian KTK Negeri Selangor yang telah diadakan pada tahun 2022 juga telah bersetuju agar tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berfasa terhadap mana-mana kilang haram terutamanya bagi kilang yang dibina berhampiran dengan sungai dan juga kilang yang dibina di atas tanah kerajaan. Selaras dengan ini, setiap PDT, PBT dan agensi berkaitan telah mengeluarkan notis-notis berkanun / pentadbiran bermula 2 Januari 2022 berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada terutamanya kepada pemilik atau pengusaha KTK yang berada berhampiran sungai atau yang menceroboh tanah kerajaan.

     

    Pelaksanaan tindakan penguatkuasaan akan dapat memastikan pemilik tanah atau pengusaha kilang yang berada dalam senarai inventori KTK mengemukakan permohonan tukar kategori dan syarat tanah daripada pertanian/kediaman kepada industri, atau mematuhi syarat nyata tanah yang dikenakan terhadap mereka. Ketiadaan atau kekurangan pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan terhadap pemilik tanah atau pengusaha kilang yang ingkar serta gagal mematuhi syarat-syarat nyata tanah yang ditetapkan, akan mengakibatkan kesalahan pelanggaran syarat tanah terus berleluasa dan ketirisan hasil negeri semakin merosot.

  2. Apakah bantuan dari kerajaan jika tidak melanjutkan program pemutihan ini?

    Walaupun pelaksanaan program pemutihan atau penyelesaian KTK telah berakhir, Kerajaan Negeri tetap prihatin terhadap cabaran sosio-ekonomi semasa yang dihadapi oleh pemilik tanah atau pengusaha kilang-kilang tanpa kebenaran di Negeri Selangor. Keprihatinan tersebut telah dizahirkan melalui keputusan terkini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 3/2023 yang diadakan pada 1 Februari 2023 dan disahkan MMKN ke 4/2023 pada 17 Februari 2023 yang bersetuju dengan perkara-perkara berikut:

    1. Mengekalkan syarat nyata teknikal minima bagi tanah-tanah yang telah diluluskan tukar syarat tanah, serta lesen sementara dilanjutkan bagi tanah-tanah yang telah diluluskan permohonan tukar syarat tanah dan yang telah mengemukakan permohonan. Pemakaian dan pengekalan tersebut hanya kepada kilang-kilang yang telah disenaraikan dalam inventori sahaja. Perkara ini selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Khas Penyelesaian KTK Bilangan 2/2022 pada
      23 September 2022.
    2. Bagi tujuan urusan berkaitan tanah, Permit Khas Sementara boleh diberikan oleh Pejabat Daerah/ Tanah (PDT) untuk tempoh tiga (3) tahun bagi tujuan berpindah ke atas kilang-kilang yang telah disenaraikan dalam inventori yang berada di Luar Zon (dengan lima (5) kali ganda penalti) dan boleh dipertimbangkan dengan syarat:

     

    • perlu mendapat ulasan awal oleh PBT dan kelulusan Bomba;
    • tidak perlu Kelulusan Kebenaran Merancang dan digantikan dengan Permit Bangunan Sementara; dan
    • sekiranya terdapat aduan berhubung kilang tersebut dan memberi masalah kepada kawasan setempat dan pencemaran, sebarang pemberian kelulusan secara sementara hendaklah dibatalkan dan diteruskan dengan tindakan penguatkuasaan.

    3. KTK Dalam Zon diberikan syarat teknikal minima serta lesen industri dikekalkan tiga (3) kali ganda dengan syarat tanah telah selesai tukar syarat. Jika tiada permohonan, PDT diminta mengambil tindakan penguatkuasan (Notis 7A). Kaedah memproses dan penyediaan permit khas oleh Pentadbir Tanah dilaksanakan menerusi pemakaian Pekeliling PTGS Bilangan 2/2007.

Lampiran

Tiada Lampiran.