Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

300) PEMUTIHAN KILANG-KILANG HARAM

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pencapaian Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (PPKTK) sehingga kini?

    Seperti yang pernah dimaklumkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat semasa Sidang Dewan sebelum ini, pelaksanaan program pemutihan atau penyelesaian kilang tanpa kebenaran (KTK) di Negeri Selangor sejak 31 Julai 2006 telah disambung sebanyak tujuh (7) kali sehingga ia telah ditamatkan sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) pada 31 Disember 2020. Berdasarkan rekod[1] urus setia Jawatankuasa Khas Penyelesaian KTK Negeri Selangor yang dikemaskini sehingga 27 Oktober 2023 (iaitu bagi tempoh 2006-2023), terdapat 5,628 lot tanah hakmilik (atau 7,221 buah kilang) dan 257 lot tanah kerajaan (atau 260 buah kilang) dalam senarai inventori KTK yang telah dibanci oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di Negeri Selangor.

     

    Namun, daripada jumlah tersebut, hanya 415 (7.37%) permohonan tukar syarat nyata tanah telah diterima oleh PDT yang berkaitan. Sebanyak 356 permohonan telah diluluskan, manakala 56 ditolak dan 3 masih dalam tindakan kelulusan. Di peringkat PBT pula, hanya sejumlah 1,476 kilang yang telah memohon atau mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang, 537 permohonan / kelulusan Pelan Bangunan, 136 permohonan / kelulusan Permit Bangunan Sementara, 207 permohonan / kelulusan CCC, dan 3,038 permohonan / kelulusan Lesen.

     

     

     

     

  2. Berapakah hasil yang dijangka diperoleh dari kilang haram yang masih belum dibuat pemutihan?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, permohonan tukar syarat nyata tanah oleh pemilik-pemilik tanah atau pengusaha-pengusaha kilang tanpa kebenaran (KTK) di bawah program penyelesaian KTK yang dilaksanakan melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor Bilangan 2/2019[1] telah diproses oleh Jawatankuasa Penyelesaian KTK (JK-KTK) di peringkat Daerah dan Negeri mengikut jenis permohonan dalam zon atau luar zon. Kelulusan yang dipertimbangkan oleh JK-KTK tertakluk kepada ulasan yang diberikan oleh PDT, PBT dan agensi-agensi teknikal yang berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Jabatan Pengairan dan Saliran. Apabila permohonan tukar syarat tanah diluluskan di peringkat PDT, pengusaha KTK perlu mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang, serta syarat-syarat teknikal lain dengan agensi-agensi berkenaan melalui Jawatankuasa OSC di PBT yang berkaitan.

     

    Justeru, mana-mana permohonan tukar syarat nyata tanah yang ditolak telah mengambil kira faktor-faktor seperti kedudukan tapak KTK yang berada di luar zon industri, pelan bangunan yang tidak memenuhi syarat-syarat teknikal yang dibenarkan, pemilik / pengusaha KTK tidak dapat mematuhi syarat-syarat binaan yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal, kesan KTK tersebut kepada alam sekitar, impak sosial KTK terbabit kepada masyarakat sekeliling, dan lain-lain.

     

    Sehingga Oktober 2023, jumlah hasil kutipan negeri (iaitu bayaran premium tambahan dan permit khas) yang telah berjaya dipungut susulan pelaksanaan program penyelesaian KTK ialah RM194,412,339.614 (melibatkan 365 permohonan). Namun, jangkaan hasil yang boleh dikutip daripada permohonan KTK yang masih belum diputihkan tidak dapat diperincikan, memandangkan pengiraan kerugian jumlah fi akibat kewujudan kilang haram secara keseluruhan bergantung kepada pelbagai jenis dan kadar caj atau fi yang mungkin terlibat atau dikenakan oleh PDT dan PBT kepada mana-mana pihak yang mengusahakan kilang atau industri di sesebuah kawasan mengikut jenis aktiviti industri (ringan / sederhana / berat) yang dijalankan. Pada masa yang sama, pengiraan kadar premium tambahan hasil proses tukar syarat tanah pula tertakluk kepada syarat guna tanah yang berbeza-beza dan nilaian tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

     

    [1] Berkuatkuasa mulai 01 Oktober 2019 dan tamat pada 30 September 2020 serta disambung  sehingga 31 Disember 2020.

  3. Adakah akan dibuat penempatan semula kilang haram sekiranya perniagaan mereka menyumbangkan hasil negeri?

    Sidang Dewan yang dihormati, PBN sememangnya memandang serius isu penyelesaian KTK kerana implikasinya yang besar terhadap perkembangan dan pembangunan fizikal, sosio-ekonomi dan kelestarian alam sekitar di Negeri Selangor. Oleh sebab program penyelesaian KTK telah tamat sepenuhnya pada 31 Disember 2020, tumpuan PBN kini adalah terhadap inisiatif Kerajaan Negeri melalui PDT dan PBT untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan perundangan yang sedang berkuatkuasa dan garis panduan yang telah disediakan, merujuk kepada bidang kuasa masing-masing.

     

    Malahan, seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, perkara tersebut turut ditekankan oleh Jawatankuasa Khas Penyelesaian KTK Negeri Selangor pada tahun 2022 yang telah bersetuju agar tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berfasa terhadap mana-mana kilang haram terutamanya kilang yang dibina berhampiran sungai dan juga kilang yang dibina di atas tanah kerajaan. Selaras dengan ini, setiap PDT, PBT dan agensi berkaitan telah mengeluarkan notis-notis berkanun / pentadbiran mulai 2 Januari 2022 berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada terutamanya kepada pemilik / pengusaha KTK yang berada berhampiran sungai atau yang menceroboh tanah kerajaan. Ini menekankan dan menunjukkan ketegasan Kerajaan Negeri dalam menangani isu yang telah lama berlarutan itu.

     

    Pada masa yang sama, PDT dan PBT masih mengadakan sesi libat urus secara berkala mengikut inisiatif jabatan masing-masing bagi memberikan khidmat nasihat kepada mereka yang tampil dan menghubungi agensi berkenaan untuk bimbingan dan panduan tentang bagaimana mereka boleh mematuhi keperluan PDT, PBT dan agensi-agensi teknikal yang berkaitan walaupun dengan keadaan yang seminima mungkin. Salah satu sesi libat urus berskala sederhana anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam bersama YB EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan telah diadakan baru-baru ini (06 November 2023) bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan terkini yang boleh membantu pengusaha KTK.

     

    Selain itu, pemilik tanah atau pengusaha KTK yang telah mengemukakan permohonan tukar syarat tanah tetapi masih tidak mampu mematuhi syarat-syarat kelulusan, mereka diberikan ruang untuk mencari tapak yang baharu bagi memindahkan aktiviti industri yang sedang diusahakan ke tempat atau tapak yang lebih sesuai dengan pelan perancangan kawasan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, mana-mana kilang yang berada di luar zon akan dinilai semula oleh PBT untuk pengezonan semula. Kilang-kilang yang terletak di atas tanah pertanian dan di kawasan yang tidak boleh dizonkan semula akan diberikan Permit Khas Tanah selama 3 tahun untuk berpindah ke dalam zon perindustrian.

Lampiran

Tiada Lampiran.