Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

274) PEMUTIHAN KILANG HARAM

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah sambutan program tersebut mendapat sambutan dari pemain-pemain industri?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, meskipun program pemutihan atau penyelesaian kilang tanpa kebenaran (KTK) telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri selama lebih satu dekad (iaitu 2006-2020), ia kurang mendapat sambutan daripada pemain-pemain industri di Negeri Selangor.

    Mengikut rekod urus setia Jawatankuasa Khas Penyelesaian KTK Negeri Selangor yang dikemaskini sehingga Disember 2022 (iaitu tempoh 2006-2022), sejumlah RM194,412,339.614 hasil kutipan (premium tambahan dan permit khas) yang melibatkan 365 permohonan telah berjaya dipungut melalui pelaksanaan program tersebut. Jumlah ini adalah rendah berbanding inventori KTK, memandangkan sebanyak 5,628 lot tanah hakmilik (atau 7,221 buah kilang) dan 257 lot tanah kerajaan (atau 260 buah kilang) telah dibanci oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di Selangor. Daripada jumlah tersebut, hanya 415 (7.37%) permohonan tukar syarat nyata tanah telah diterima. Sebanyak 356 permohonan telah diluluskan, 56 permohonan ditolak manakala 3 masih dalam tindakan kelulusan.

  2. Apakah masalah besar yang dihadapi ketika program tersebut dijalankan?

    Sepanjang tempoh pelaksanaan program pemutihan KTK di Negeri Selangor, beberapa isu / kekangan utama telah dihadapi oleh pihak jabatan pelaksana yang berkaitan seperti PDT, PBT dan agensi-agensi teknikal lain, termasuklah:

    1. Keengganan pihak pemilik tanah atau pengusaha KTK yang terlibat dalam mengemukakan permohonan tukar syarat nyata tanah ataupun mematuhi syarat teknikal minima yang telah ditetapkan. Pihak Persatuan-Persatuan Pemilik Tanah & Pengusaha Kilang di Negeri Selangor juga tidak berusaha untuk memanfaatkan atau menguar-uarkan peluang yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri kepada ahli-ahli persatuan. Pemain-pemain industri bersikap tidak mengambil berat akan peluang yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri walaupun usaha ini telah lama dijalankan sejak tahun 2006 lagi. Notis-notis pentadbiran / awalan yang dikeluarkan oleh pihak PDT dan PBT tidak diendahkan oleh mereka yang beranggapan bahawa Kerajaan Negeri tidak serius dalam menangani isu KTK di Negeri Selangor.
    2. Pihak jabatan pelaksana khususnya PDT dan PBT mengalami kekangan sumber manusia dan peruntukan kewangan yang terhad dalam melaksanakan tugasan berkaitan program pemutihan KTK kerana jumlah keluasan kawasan yang terlibat di seluruh Negeri Selangor melangkaui kemampuan sedia ada. Masalah kekurangan kakitangan di PDT dan PBT yang menguruskan program KTK juga berkait-rapat dengan kepelbagaian bidang tugas harian semasa yang perlu dilaksanakan oleh setiap staf.
    3. Kilang-kilang tanpa kebenaran (KTK) yang telah didirikan di luar Kawasan Zoning yang dibenarkan menghadapi masalah mencari tapak baharu (luar zoning) untuk memindahkan operasinya ke lokasi yang telah dibenarkan oleh PBT melalui program pengubahan / rezoning yang dirancangkan dari masa ke masa sebelum tindakan penguatkuasaan, sitaan atau perobohan dilakukan ke atas premis mereka. Hal ini berkemungkinan menyebabkan mereka bersikap tidak endah terhadap sebarang notis oleh PDT dan PBT.
    4. Oleh sebab kemungkinan implikasi politik, perundangan dan kewangan yang besar kepada pihak Kerajaan Negeri, pihak PDT dan PBT terpaksa mengambil langkah berhati-hati atau berjaga-jaga yang lebih ketat bagi memastikan pematuhan peruntukan perundangan yang sedang berkuatkuasa dalam memproses sebarang permohonan atau memulakan sebarang tindakan penguatkuasaan berkaitan KTK. Penyelarasan pelaksanaan dan pengurusan program pemutihan KTK di antara PDT dan PBT juga menjadi isu yang menghalang keberkesanan program tersebut.
    5. Maklumat atau data berkaitan inventori KTK yang sedia ada bukan merupakan rekod terkini kerana proses bancian tidak dijalankan secara menyeluruh dan serentak di seluruh Negeri Selangor selepas aktiviti bancian komprehensif terakhir dilaksanakan pada tahun 2015. Pengemaskinian rekod KTK yang dibuat oleh PDT dan PBT pada masa kini melalui rondaan dan pemantauan kendiri secara berkala menunjukkan pertambahan bilangan KTK setiap tahun. Pihak PDT dan PBT mengalami kesukaran dalam menghalang sebarang pembinaan KTK baru kerana tiada pangkalan data berpusat yang boleh dirujuk berkaitan status tanah dan kilang yang didirikan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.