Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
53) PEMUTIHAN KILANG HARAM
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh manakah kejayaan program pemutihan kilang-kilang haram di Negeri Selangor?
Untuk makluman YB Sungai Burong, program pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) bermula pada 31 Julai 2006 dan program ini telah dilanjutkan sebanyak tujuh (7) kali bermula dari 26 Jun 2006, sehingga 31 Disember 2020. Walau bagaimanapun, pada tahun 2007 MMKN telah memutuskan perusahaan seperti Bengkel, Kotej Industri dan Industri Kecil Sederhana (IKS) dikeluarkan daripada Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran.
Sepanjang Program KTK dilaksanakan melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor Bilangan 2/2019 berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2019 dan tamat pada 30 September 2020 dan disambung sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 412 permohonan telah diterima dan sebanyak 349 permohonan diluluskan di Pejabat Tanah dan Daerah.
Perincian maklumat berkaitan permohonan menukar syarat yang terlibat dan berjaya diputihkan serta gagal diputihkan adalah seperti di jadual berikut:
Mengikut rekod urusetia yang telah dikemaskini sehingga 30 Ogos 2022, sebanyak 5618 Lot telah dibanci dan disenaraikan oleh PBT. Namun hanya 412 sahaja permohonan (7.33 peratus) yang diterima oleh PDT. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 349 permohonan telah diluluskan manakala 45 ditolak dan 18 dalam tindakan. Jumlah premium tambahan yang telah berjaya diterima ialah sebanyak RM RM179,157,810.91 (melibatkan 280 permohonan) sehingga Ogos 2022.
-
Apakah langkah-langkah seterusnya yang akan diambil keatas kilang-kilang haram yang belum mematuhi dasar pemutihan kilang haram oleh Kerajaan Negeri Selangor?
Setelah berakhirnya program dasar pemutihan kilang haram oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Pekeliling PTGS Bilangan 2/2019, kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah Daerah (PTD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan SOP yang telah disediakan merujuk kepada bidang kuasa masing-masing. Berdasarkan beberapa siri mesyuarat JAWATANKUASA KHAS PENYELESAIAN KILANG TANPA KEBENARAN NEGERI SELANGOR yang telah diadakan, pihak Kerajaan telah memutuskan untuk melakukan tindakan penguatkuasaan secara berfasa terhadap mana-mana kilang terutamanya bagi kilang yang dibina berhampiran dengan sungai dan juga kilang yang dibina di atas tanah kerajaan.
Dengan tindakan pengeluaran notis awalan dan dibantu dengan hebahan awam menerusi media masa adalah diharapkan pengusaha kilang yang tidak menyertai program pemutihan kilang tanpa kebenaran akan segera mengemukakan permohonan menukar syarat tanah (dalam zoning) atau mencari tapak baharu (luar zoning) untuk memindahkan operasinya ke lokasi yang telah dibenarkan oleh PBT melalui program pengubahan / rezoning yang dirancangkan dari masa ke semasa sebelum tindakan sitaan atau perobohan dilakukan ke atas premis mereka.