Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
123) PEMULIHARAAN PROJEK RUMAH TERBENGKALAI
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Senaraikan projek perumahan RKR terbengkalai yang telah dipulihara semula melalui usaha Kerajaan Negeri Selangor.
Satu projek perumahan Rumah Kos Rendah Terbengkalai yang telah dipulihara semula melalui usaha Kerajaan Negeri Selangor ialah Projek Pangsapuri Kos Rendah 14 Tingkat Ukay Bistari 146 unit. Projek ini telah dipulihkan melalui pemantauan Task Force Projek Terbengkalai Pejabat EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan.
-
Apakah peranan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyegerakan penyelesaian perumahan terbengkalai ini
Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, pemulihan projek terbengkalai adalah di bawah bidangkuasa Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan ia tertakluk di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.
Di mana Akta 118 ini memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk melantik syarikat baru mengambil alih pemaju perumahan yang tidak memenuhi obligasi tanpa merujuk kepada Menteri Kewangan terlebih dahulu.
Memandangkan pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli. Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dan sekiranya berlaku “breach of contract” maka pihak terlibat perlu membawa kes mereka ke mahkamah. Begitu juga keadaannya apabila pembeli-pembeli rumah mereka terbengkalai. Kerajaan Negeri tidak mempunyai “locus standi” untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Walaubagaimanapun Kerajaan Negeri tetap mengambil langkah positif dan mencari idea-idea baru dalam membantu menyelesaikan masalah projek terbengkalai. Antaranya adalah seperti berikut:
- Bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai syarikat pemaju perumahan yang terbengkalai. Tujuannya adalah untuk mengenal pasti ahli lembaga pengarah syarikat seterusnya menyenaraihitamkan agar sebarang projek pembangunan pada masa akan datang tidak lagi dibangunkan oleh mereka.
- Mengenal pasti projek-projek terbengkalai yang peratus penyiapan telah menjangkau 80% seterusnya mengadakan perbincangan antara pembeli, pemaju, bank dan pihak-pihak yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian. Contohnya sekiranya pemaju menghadapi masalah kewangan bagi menyiapkan baki projek tersebut pembeli dan pemaju dengan persetujuan bank dicadangkan menambahkan jumlah pinjaman bagi menyiapkan baki projek tersebut dengan syarat pinjaman tambahan tersebut dikawal oleh ‘stake holder’.
- Mengadakan mesyuarat bersama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memantau secara berkala dan mempercepatkan proses kelulusan pembangunan seperti pengeluaran CF.
- Menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang bertindak sebagai ‘one stop centre’ bagi pemulihan projek terbengkalai. Di mana saya sebagai pengerusi dan ahli-ahlinya terdiri daripada Y.B. Penasihat Undang-Undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Y.B Tuan Saari Sungib, Ketua Eksekutif Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pentadbir Tanah berkaitan, Pengarah Perancang Bandar dan Desa, Yang Dipertua/ Datuk Bandar Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Pengarah Jabatan Insolvensi / Liquidator (sekiranya berkaitan), pemaju terlibat, Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah dan bank terlibat di mana LPHS bertindak sebagai sekretariat jawatankuasa berkenaan.
- Mengambil tindakan perampasan tanah atau pengambilan tanah seperti Projek Alam Perdana dan Projek Bukit Botak.