Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

17) PEMULIHARAAN DAN PEMELIHARAAN WARISAN BUDAYA DAN SEJARAH NEGERI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan budaya dan sejarah Negeri Selangor?

    Warisan Budaya merupakan pola-pola kehidupan kemanusiaan dalam konteks pencernaan tamadun, samada pola budaya ketara mahupun tak ketara, dihasilkan oleh perjalanan hidup manusia dan diperwariskan dari zaman ke zaman, dari generasi ke generasi. Menjadi citra dan jati diri sesuatu bangsa merangkumi segala bentuk ragam seni bina, tata hias, ukiran pelbagai motif pada pakaian, bangunan, ilustrasi pada sesuatu cetakan dan sebagai penjelmaan warisan budaya ketara atau budi bahasa, budi pekerti, tingkah laku, falsafah, pemikiran dan kreativiti dijelmakan melewati warisan budaya tak ketara.

    Pengurusan kawasan sensitif alam sekitar, sumber jaya semula jadi dan warisan adalah penting bagi memelihara kepelbagaian aset sumber jaya dalam memastikan kelangsungan ekonomi Negeri Selangor.

    Pertamanya, pemeliharaan, pemuliharaan dan pengintegrasian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dalam perancangan guna tanah adalah antara perancangan Kerajaan Negeri bagi memberi perlindungan kepada tapak-tapak ini. Antaranya:

    • Mengawal pembangunan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) secara bersepadu berdasarkan tahap KSAS 1, 2 dan 3.
    • Memelihara dan memulihara tapak- tapak yang mempunyai Nilai Universal Sejagat (OUV) dan warisan yang tinggi untuk diangkat ke tapak warisan kebangsaan dan seterusnya warisan dunia UNESCO.
    • Merancang penggunaan tanah dan aktiviti pembangunan dalam kawasan geoparkselaras dengan keperluan pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan ini.
    • Memastikan Rancangan Tempatan (RT) menetapkan zon penampan yang bersesuaian antara kawasan warisan yang telah ditetapkan dengan zon pembangunan yang dibenarkan.
    • Mengenal pasti kegunaan/aktiviti yang bersesuaian dalam zon penampan kawasan FRIM, Taman Warisan, Permatang Kuarza Gombak dan Pusat Kawalan Kusta Negara.

    Keduanya, pengekalan dan pemuliharaan kawasan warisan semula jadi dan sumber warisan sejarah adalah antara matlamat pembangunan Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan fizikal Negeri Selangor diuruskan secara teratur dengan mengambil kira keperluan mengimbangi pembangunan perbandaran dengan keperluan pemeliharaan alam sekitar dan sumberjaya semula jadi. Kawasan-kawasan yang mempunyai warisan semula jadi dan warisan kebudayaan perlu dipulihara untuk membentuk imej bandar warisan.

    1. Mewartakan taman negeri bagi tanah kerajaan dalam kawasan tanah lembap (bencah), hutan simpan paya bakau, hutan simpanan dan rizab hidupan liar sebagai aset warisan semula jadi negeri termasuk Permatang Kuarza Gombak Selangor, Kampus FRIM dan Pusat Kawalan Kusta Negara yang berpotensi sebagai tapak warisan dunia.
    2. Mewartakan sumber warisan seni bina bangunan yang berpotensi dinaiktaraf di peringkat negeri atau kebangsaan menerusi Akta Warisan Kebangsaan 2005 atau Enakmen no 4, Padat 2009 seperti Bandar Klang, Kuala Kubu Bharu, Bukit Malawati dan Bukit Jugra.
    3. Memulihara sumber warisan seni bina bangunan yang didaftarkan oleh Jabatan Warisan Negara.
    4. Mengawal sumber warisan seni bina bangunan menerusi kawalan pembangunan mengikut garis panduan yang disediakan.
    5. Menerapkan konsep kerjasama pintar di antara pihak swasta dan kerajaan di dalam pemuliharaan bangunan warisan.
    6. Mempromosikan sumber warisan semula jadi dan seni bina bangunan sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan sebagai produk pelancongan.
    7. Mengukuhkan mekanisme pengurusan sumber warisan melalui penglibatan badan bukan kerajaan, komuniti setempat dan semua agensi terlibat secara bersepadu.
    8. Menyediakan satu sistem maklumat inventori untuk sumber warisan semula jadi dan sumber seni bina bangunan di bawah pengendalian agensi yang berkaitan.
    9. Meningkatkan program pendidikan dan kesedaran awam mengenai kepentingan warisan semula jadi dan seni bina bangunan.
  2. Senaraikan lokasi warisan budaya yang telah dipulihara dan dipelihara oleh Kerajaan Negeri?

    Negeri Selangor kaya dengan sumber warisan yang bernilai tinggi. Terdapat beberapa sumber warisan yang bernilai tinggi dan diiktiraf sebagai Warisan Negeri, Warisan Kebangsaan dan juga ada yang berpotensi untuk dicalonkan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO di Negeri Selangor.

    Bagi warisan semula jadi, Taman Warisan Negeri Selangor yang meliputi tiga daerah iaitu Daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat merupakan Warisan Negeri Selangor yang diiktiraf oleh Kerajaan Negeri yang melibatkan 10 kawasan hutan lipur (seluas 107,000 hektar). Kawasan ini juga mempunyai jaluran Permatang Kuarza Gombak Selangor yang berpotensi untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kawasan ini juga merupakan sebahagian daripada Rangkaian Ekologi CFS Selangor di mana Rancangan Fizikal Negara (RFN) ke-4 telah menekankan kepada kepentingan kawasan tersebut untuk tujuan pemuliharaan kepelbagaian biologikal.

     

    Aset-aset berikut telah diiktiraf sebagai bernilai Warisan Kebangsaan iaitu:

    1. Bangunan Sultan Suleiman (Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz), Klang;
    2. Masjid Diraja Sultan Ala’eddin, Kampung Bandar, Jugra;
    3. Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang;
    4. Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves;
    5. Bukit Malawati, Kuala Selangor; dan
    6. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. (FRIM), Kepong

     

    Manakala aset-aset warisan adalah seperti berikut:

    1. Bukit Raja, Kuala Selangor
    2. Gedong Raja AbdullahJalan Gedong Raja Abdullah, Klang
    3. Ibu Empangan Sungai Tengi, Kuala Selangor
    4. Istana Alauddin, Kampung Bandar, Kuala Langat
    5. Kota Raja Mahadi, Klang
    6. Kota Tanjong Keramat, Kuala Selangor
    7. Makam Diraja Jugra, Jugra, Kuala Langat
    8. Makam Saiyid Mashor bin Mohammad. Ash-Shahab, Kerling, Hulu Selangor
    9. Masjid Ampang Pecah (Masjid Lama Al-Hidayah), Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor
    10. Pejabat Daerah Lama Kuala Langat, Kuala Langat
    11. Penjara Lama Jugra, Kuala Langat
    12. Sekolah Convent, Jalan Tengku Kelana, Klang
    13. Setor Peluru Kuala Langat
    14. Bekas Bangunan Gereja (Pejabat Polis Cawangan Trafik), Jalan Bukit Kerajaan, Bandar Kuala Kubu Bharu

Lampiran

Tiada Lampiran.