Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

49) PEMULIHAN TAPAK SEJARAH

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam memulihara tapak-tapak sejarah di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memastikan tapak-tapak Sejarah yang mempunyai signifikan dari segi arkeologi dan sejarah di negeri Selangor dilindungi dan dipulihara. PADAT selaku agensi yang bertanggungjawab telah berkerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk mewartakan tapak-tapak bersejarah sebagai Tapak Warisan (TW), Tapak Warisan Kebangsaan (TWK) mahupun Tapak Warisan Dunia UNESCO (TWD). Manakala tapak-tapak bersejarah yang belum diwartakan telah dimasukkan dalam senarai inventori Jabatan Warisan Negara (JWN).

    Bagi tapak atau bangunan bersejarah dalam Rancangan Pembangunan (RP) Rancangan Tempatan (RT) atau Rancangan Kawasan Khas (RKK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Akta 172 bertanggungjawab untuk menyedia dan memastikan segala ketetapan yang dinyatakan di bawah RP tersebut dipatuhi.

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor turut bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan bagi kerja-kerja konservasi dan membaik pulih bangunan bersejarah seperti kerja-kerja konservasi Kapal Korek Sri Banting, Sepang dan kerja-kerja membaik pulih Istana Bandar, Kuala Langat.

    Selain itu, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan semua pihak-pihak berkepentingan untuk mendapatkan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi tapak-tapak yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh badan dunia tersebut. Diharapkan kerjasama di antara semua pihak akan dapat memastikan tapak-tapak warisan di negeri Selangor dipulihara agar terus kekal sebagai aset warisan yang tidak ternilai.

  2. Apakah program pendidikan yang diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran sejarah serta usaha-usaha untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO?

    Warisan dan budaya sesuatu bangsa adalah khazanah yang tidak ternilai dan wajar dilindungi supaya ia terus menjadi menjadi identiti sesuatu bangsa dan dihidupkan daripada generasi ke suatu generasi. Ini adalah kerana tamadun dan sejarah sesuatu bangsa amat penting dalam pembentukan identiti sesebuah negara.

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan PADAT bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dengan melaksanakan program-program kebudayaan dan warisan bersama institusi pendidikan dan sekolah-sekolah di seluruh negeri Selangor. Program-program yang dilaksanakan meliputi program-program pengembangan dan promosi permainan tradisional, makanan warisan, tarian kebudayaan, pakaian tradisional dan pelbagai program-program pendidikan berunsur sejarah kepada generasi pelapis.

    Manakala tapak-tapak sejarah dan warisan yang mempunyai Outstanding Universal Value (OUV) akan diangkat untuk mendapat pengiktirafan oleh UNESCO. Pada masa ini, Kerajaan Negeri bersama dengan Jabatan Warisan Negara sedang berusaha untuk mengangkat beberapa tapak warisan di negeri Selangor sebagai tapak warisan dunia di bawah UNESCO iaitu Kapal Korek Sri Banting, Pusat Kawalan Kusta Negara dan FRIM Forest Park Selangor (FRIM). Walaupun usahanya agak sukar dan mengambil masa yang lama, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memastikan usaha ini diteruskan dengan kerjasama semua pihak.

Lampiran

Tiada Lampiran.