Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
1) PEMULIHAN KAWASAN HUTAN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah kawasan hutan yang rosak di Negeri Selangor?
Kawasan hutan yang miskin atau terosot dianggarkan kurang daripada 5% daripada kawasan Hutan Simpanan Kekal di Negeri Selangor. Komitmen Negeri Selangor mengamalkan Dasar Moratorium pembalakan selama 25 tahun telah mewujudkan satu ekosistem perhutanan yang sangat kaya dengan kepelbagaian biodiversiti dengan kelestariannya yang terjamin. Kawasan hutan yang dikategorikan sebagai miskin atau terosot adalah berpunca daripada kebakaran hutan dan pencerobohan hutan untuk pertanian.Walaubagaimanapun tindakan mantap dan efisien pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) serta agensi-agensi lain dalam mengawal masalah ini perlu dipuji kerana kadar hutan terosot dapat dikekalkan pada tahap yang sangat minima.
-
Apakah rancangan untuk menggalakkan pemulihan kawasan hutan yang rosak di Negeri Selangor?
Pelbagai program dan tindakan telah dilaksanakan oleh Pihak JPNS bagi memelihara dan memulihara kawasan hutan yang terosot akibat daripda kebakaran hutan dan pencerobohan hutan. Di antaranya adalah melalui projek pembangunan di mana pada tahun 2024 ini seluas hampir 30 hektar kawasan hutan telah dilaksanakan aktiviti tanaman dan rawatan. Pelbagai program bersama komuniti dan juga Corporate Social Responsibility (CSR) telah dilaksanakan di HS Kapar, HS Bukit Lagong, HS Bukit Cherakah dan HS Raja Musa. Pemulihan kawasan hutan terosot juga dapat dilaksanakan melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di mana kawasan seluas 10 hektar akan ditanam di HS Bukit Belata. Program-program seperti ini akan terus dilaksanakan oleh pihak JPNS bersama pihak komuniti atau badan Bukan Berkanun (NGO) dari masa ke masa bagi merealisasikan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok tersebut.
Di antara contoh program CSR yang telah dilaksanakan adalah pada 29 Jun 2024 di HS Bukit Lagong bersama Syarikat Sunlife Insurans Sdn Bhd dengan penanaman sebanyak 500 pokok jenis dipterocarp selain turut dilaksanakan dengan pihak PLUS Malaysia di Hutan Simpab Bukit Cherakah yang mana sejumlah 100 anak pokok telah berjaya ditanam.