Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
110) PEMILIKAN TANAH
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah ukuran yang digunapakai bagi meningkatkan kecekapan memproses urusan pemilikan tanah?
Bagi meningkatkan kecekapan memproses urusan pemilikan tanah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah menetapkan Piagam Pelanggan yang perlu dipatuhi dan urusan pemilikan tanah akan mengguna pakai dasar-dasar, pekeliling dan arahan yang dikeluarkan oleh Pengarah Tanah dan Galian Selangor.
-
Apakah strategi Kerajaan Negeri dalam memajukan Tanah Rizab Melayu?
Tanah Rizab Melayu terbahagi kepada dua(2) iaitu Tanah Rizab Melayu hakmilik persendirian dan Tanah Kerajaan. Kebanyakan Tanah Rizab Melayu yang dimiliki oleh orang persendirian/syarikat telah dibangunkan oleh pemilik tanah sendiri atau secara kerjasama (JV). Kerajaan Negeri juga memberi insentif melalui kadar premium yang lebih rendah berbanding dengan tanah-tanah bukan Rizab Melayu melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 3/1994.
Sebagai inisiatif tambahan bagi membantu membangunkan Tanah Rizab Melayu, Pejabat Tanah dan Galian Selangor akan melaksanakan pilot projek bagi Program Pemutihan Pelanggaran Syarat Tanah Kategori Pertanian Untuk Kediaman Persendirian di Kampung Tradisional / Tanah Rizab Melayu. Dua daerah telah dipilih sebagai daerah kajian iaitu Daerah Kuala Selangor dan Daerah Klang dan kos kajian (termasuk kursus dan outreach program) dianggarkan sebanyak RM500,000.00. Program ini akan dilaksanakan pada tahun 2014 dan tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. Sekiranya program ini berjaya dilaksanakan dikedua-dua daerah yang dicadangkan dan mendapat peruntukan yang sama bagi setiap tahun belanjawan, program ini akan diperluaskan di seluruh daerah di Negeri Selangor.
-
Apakah program Kerajaan Negeri untuk melindungi tanah adat Orang Asal?
Tanah Adat Orang Asal dapat dilindungi berdasarkan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 1/2006, telah menetapkan dasar pemilikan tanah Orang Asli (Orang Asal) di Negeri Selangor adalah seperti berikut :
- Tanah-tanah di perkampungan Orang Asli dijadikan Rancangan Tanah Berkelompok Khas untuk Orang Asli sahaja samada yang diwartakan ataupun sebaliknya;
- Pemberimilikan tanah hendaklah berdasarkan konsep keluarga iaitu setiap keluarga diperuntukkan tanah pertanian dan tapak kediaman. Kawasan ini perlu disediakan pelan teratur oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan kos berkenaan ditanggung oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Di samping itu,
- keluasan berkenaan hendaklah ditambah untuk kegunaan awam dan keluasan generasi akan datang sebanyak 30% daripada keluasan keseluruhan;
- Sekiranya tanah ini hendak dibangunkan, satu ‘Badan Amanah’ hendaklah diwujudkan yang ahli-ahlinya terdiri daripada Orang Asli dan Pentadbir Tanah Daerah bagi melindungi kepentingan Orang Asli itu sendiri sebelum diperuntukkan kepada pihak lain;
- Kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Orang Asli hendaklah dibatalkan terlebih dahulu sebelum tindakan pemberimilikan tanah dibuat. Bagi kawasan yang terletak di dalam kawasan hutan simpan, Jabatan Perhutanan hendaklah mengambil tindakan untuk membatalkannya. Manakala kawasan yang terlibat dalam Tanah Rizab Melayu tindakan pembatalan hendaklah diambil dan digantikan berdasarkan jumlah keluasan yang sama.