Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

110) PEMILIKAN TANAH

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Syarat-syarat yang ketat untuk pemilikan tanah kediaman oleh Kerajaan Negeri menyebabkan permohonan ditolak. Adakah Kerajaan bercadang untuk membantu mereka yang berkelayakan (miskin) untuk memiliki tanah?

    Syarat-syarat yang ditetapkan dalam pemberimilikan tanah Kerajaan oleh Kerajaan Negeri adalah jelas iaitu Tanah Kerajaan berkenaan hendaklah tanah yang telah lama diduduki atau didiami dan pemohon adalah pihak yang berkelayakan seperti yang telah diperuntukan di dalam Seksyen 43 Kanun Tanah Negara. Berdasarkan Pekeliling PTGS Bil. 6/2011 (Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian Di Negeri Selangor), pengusaha asal yang telah mengusahakan atau menduduki tanah sekurang-kurangnya tiga (3) tahun pada tarikh 1 Januari 2008 adalah berkelayakan diberikan kelulusan permohonan. Bagi membantu mereka, Kerajaan Negeri telah memberikan pilihan kaedah pembayaran premium tanah melalui dua (2) kaedah yang telah ditetapkan.

    Selain daripada kriteria-kriteria atau syarat-syarat di atas, Kerajaan Negeri juga boleh mempertimbangkan kelulusan pemberimilikan kepada pemohon yang memohon tapak kediaman secara berkelompok atau individu. Asas pertimbangan yang akan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri adalah berdasarkan objektif berikut;

    1. Menyelesaikan masalah orang ramai berkaitan ketidakmampuan menjelaskan bayaran premium tanah;
    2. Memberi peluang kepada rakyat Negeri Selangor membuat pilihan untuk menentukan kaedah pembayaran premium mengikut kemampuan masing-masing;
    3. Membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan isu pendudukan setinggan di atas Tanah Kerajaan; daan
    • Mempertingkatkan aspek urus tadbir dalam Pentadbiran dan Pengurusan Tanah Negeri Selangor.

     

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Pemberimilikan Kediaman melalui Pekeliling PTGS, Bilangan 6/2011 (Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian Di Negeri Selangor) yang menawarkan dua pilihan kaedah bayaran samada bayaran nominal RM1,000 atau diskaun 30% daripada bayaran premium yang dikenakan sekiranya dibayar dalam tempoh notis.

    Selain itu, Kerajaan Negeri telah memberi pilihan kaedah bayaran kepada pemohon untuk menjelaskan bayaran premium melalui Pekeliling PTGS Bilangan 1/2016 (Kaedah Pembayaran Premium dan Premium Tambahan Ke Atas Kelulusan Permohonan Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Di Negeri Selangor) seperti berikut:-

    Melanjutkan tempoh bayaran premium dan premium tambahan seperti berikut:-

     

    Pembayaran premium

    Notis Borang 5A

    12 bulan
    Pembayaran premium tambahan Notis Borang 7G 6 bulan + 1 bulan

    (tambahan caj 3%)

    Pengurangan bayaran premium sehingga 42% melalui pemendekkan tempoh pegangan pajakan daripada 99 tahun kepada 60 tahun.

     

  2. Adakah Kerajaan bercadang membantu golongan ini dengan bantuan Ketua Kampung bagi mempastikan kesahihan bahawa mereka itu layak?

    Selaras dengan slogan Kerajaan Negeri iaitu ‘Membangun Bangsa Memakmur Negeri’, Pejabat Tanah dan Daerah yang berkenaan akan menjalankan sesi temu duga bagi permohonan yang diterima secara berkelompok bagi memastikan setiap permohonan diproses dengan telus, tepat dan sah. Melalui proses temu duga ini, Pejabat Tanah dan Daerah akan menubuhkan satu (1) jawatankuasa khas untuk menjalankan proses pemilihan.

    Selepas proses temu duga ini selesai, permohonan secara berkelompok ini akan diangkat untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

  3. Jika tidak bersetuju bagaimana pihak Kerajaan dapat membantu golongan yang benar-benar memerlukan sedangkan tanah yang dikhaskan untuk lot kediaman masih ada khususnya di DUN Lembah Jaya?

    Dasar Kerajaan Negeri untuk memberimilik tanah bagi tujuan kediaman adalah berpandukan kepada Pekeliling PTGS Bil. 6/2011 (Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian Di Negeri Selangor) dan kelayakan pemohon berdasarkan Seksyen 43 Kanun Tanah Negara.

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    Pejabat  ini mengenal pasti sebanyak 51 lot kediaman yang boleh diberimilik di dalam kawasan DUN Lembah Jaya. Butirannya adalah seperti berikut:

    BIL. MUKIM LOKASI JUMLAH LOT JUMLAH LUAS (MP)
    1. Ampang Kampung Bukit Sg Putih 42 15,924
    2. Ampang Kampung Tasek Permai 9 4,629

     

    Walau bagaimanapun, Pejabat ini berpandangan bahawa pemberi milikan lot-lot kediaman tersebut berpotensi untuk dipertimbangkan melalui kaedah tender memandangkan siasatan awal Pejabat ini mendapati bahawa tanah-tanah tersebut tidak diusaha oleh pemohon.

    Pada masa ini, permohonan pelupusan tanah secara pemberi milikan bagi tanah yang diusaha atau diduduki sekurang-kurangnya 3 tahun pada 1 Januari 2008 diproses selaras dengan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 6/ 2011 (Garis Panduan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Tujuan Bangunan Kediaman Persendirian Di Negeri Selangor).

    Pekeliling tersebut juga mengambil kira masalah pemohon yang kurang mampu menjelaskan premium yang dikenakan dengan menawarkan opsyen bayaran nominal bagi tanah kediaman. Selain itu, Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) juga menawarkan Rumah Selangorku dengan harga serendah RM 42,000 untuk dimiliki oleh golongan ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.