Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

241) PEMILIKAN DAN PERMOHONAN TANAH OLEH KAKITANGAN KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan pekeliling yang membenarkan pegawai kerajaan negeri untuk memohon serta memiliki tanah dan perumahan kos rendah.

    Setiap pegawai kerajaan negeri boleh memohon serta memiliki rumah kos rendah dengan syarat pemilikan tersebut diisytiharkan kepada Ketua Jabatan masing-masing. Walau bagaimanapun, pemilikan rumah kos rendah adalah tertakluk kepada dasar rumah kos rendah yang sedang berkuat kuasa bertujuan untuk mengawal pembelian rumah yang melibatkan rumah kos rendah bagi memastikan hanya mereka yang benarbenar berkelayakan iaitu mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana sahaja yang boleh memiliki rumah kos rendah. Di samping itu, pengawalan ini adalah perlu bagi mengelakkan daripada wujudnya pihak-pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui pembelian rumah kos rendah atas tujuan pelaburan semata-mata. Selain dari itu, dasar kerajaan negeri turut mengawal pemilikan hartanah kos rendah di bawah pegangan bumiputera bagi memastikan syarat pemilikan pegangan bumiputera dipatuhi sepenuhnya.

    Sehubungan dengan itu, syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi pemilikan  rumah kos rendah adalah seperti berikut:-

    1. Warganegara Malaysia ;
    2. Berumur 18 tahun ke atas ;
    3. Pendapatan bersama (suami/isteri) bakal pembeli tidak melebihi RM2,500.00 untuk pembelian dari pemaju dan tidak melebihi RM5,000.00 bagi pembelian secara subsale ;
    4. Bakal pembeli (suami & isteri pembeli) tidak mempunyai sebarang jenis rumah kediaman di Selangor;
    5. Pemilikan rumah kos rendah hendaklah melebihi 5 tahun sebelum dijual semula ; dan
    6. Hartanah di bawah pegangan bumiputera hanya boleh dipindah milik kepada bumiputera sahaja.
  2. Apakah polisi kerajaan negeri yang terbaru dalam membenarkan kakitangan kerajaan memohon tanah dan membeli rumah kos rendah atau kemudahan lain kerajaan negeri?

    Pegawai kerajaan negeri yang berhasrat untuk memohon atau memiliki rumah kos rendah juga tertakluk kepada dasar pemilikan rumah kos rendah yang berkuat kuasa dan kelayakan bagi pemilikan rumah kos rendah hanya terhad kepada satu buah rumah sahaja bagi seisi keluarga dengan syarat pemohon belum memiliki sebarang jenis rumah kediaman di Selangor.

  3. Badan manakah yang bertanggungjawab memproses dan meluluskan segala permohonan tersebut?

    Buat masa ini dasar pemilikan kos rendah seperti mana yang dinyatakan dalam perenggan (a) masih diguna pakai dan berkuat kuasa. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bertanggungjawab untuk memproses permohonan rumah kos rendah di Selangor serta permohonan yang melibatkan urus niaga berkenaan rumah kos rendah seperti kebenaran pindah milik, kebenaran melelong, pelepasan gadaian bagi rumah awam kos rendah serta kebenaran pindah milik melalui lelongan awam.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.