Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012
50) PEMILIHAN JAWATANKUASA MASJID
Tahun: 2012
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Dato' Abd Rahman Bin Palil
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah masjid yang pemilihan Jawatankuasa Masjid mengikut peraturan?
Pencalonan pegawai dan jawatankuasa masjid dilaksanakan berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di dalam Enakmen serta Kaedah dan secara umumnya semua masjid-masjid mematuhi peraturan-peraturan tersebut. Terdapat sebahagian kecil sahaja yang didapati tidak mengikut peraturan iaitu Masjid Al-Ansar Pekan Kapar Klang, Masjid AsSolihin Teras Jernang Kuala Langat, Masjid Lapangan Terbang Sultan Salahaudin Abdul Aziz Shah Subang dan Masjid Darul Ehsan Subang Jaya.
-
Apakah tindakan seterusnya jika Jawatankuasa Masjid tidak mengadakan mesyuarat Agong?
Proses pencalonan pegawai dan jawatankuasa masjid bagi sesi 2012-2015 telah berjaya dilaksanakan secara keseluruhannya di semua masjid melalui mesyuarat agung. Walaubagaimanapun sekiranya terdapat masjid yang gagal melaksanakan mesyuarat tersebut, proses pencalonan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah Daerah (JKPD) mengikut kaedah-kaedah yang difikirkan sesuai dan wajar berdasarkan kepada Kaedah 8 Kaedah-Kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) 2001.
-
Pernahkah pihak MAIS / JAIS menerima pelantikan Jawatankuasa Masjid hanya melalui cadangan kumpulan tertentu sahaja dengan tidak melalui sistem pemilihan mesyuarat Agong kariah?
Sistem pencalonan melalui mesyuarat agung dilaksanakan sebagai suatu mekanisme dalam mendapatkan senarai calon yang difikirkan sesuai bagi menyandang jawatan pegawai dan jawatankuasa masjid. Walaubagaimanapun, terdapat kelonggaran pelaksanaan mesyuarat agung bagi masjid-masjid institusi di mana pihak institusi boleh menetapkan prosedurnya sendiri dalam menyenaraikan senarai calon yang layak dan sesuai mentadbir masjid institusi berkenaan.