Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 November hingga 23 November 2012 dan 26 November hingga 30 November 2012

38) PEMILIHAN AHLI MAJLIS MELALUI PILIHANRAYA

Tahun: 2012

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Kerajaan bercadang untuk mengadakan pemilihan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui cara pilihanraya. Adakah kerajaan sudah menyediakan draf pelaksanaannya dan bilakah ianya akan dilaksanakan?

    Kerajaan Negeri berhasrat mengadakan pemilihan Ahli Majlis PBT melalui cara pilihan raya. Satu kajian mengenai pelaksanaannya telah pun selesai dilaksanakan. Namun, hasil penelitian dan kajian lanjut berlandaskan perundangan sedia ada wujud kekangan untuk melaksanakannya.

    Bahagian V Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 473) mempunyai peruntukan mengenai kuasai SPR iaitu kuasa untuk menyelia pilihan raya bagi melantik Anggota Majlis sesuatu PBT. Walau bagaimanapun, SPR tidak dapat menguatkuasakan Akta 473 tersebut kerana merujuk kepada Subseksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) telah dimansuhkan dan diberhentikan kuat kuasanya atau terhenti mempunyai kesan.

    Berikutan dengan penguatkuasaan Subseksyen 15 (1) Akta 171 dan pemakaian Seksyen 10 Akta 171, pihak SPR tidak boleh menjalankan pilihanraya bagi memilih Anggota Majlis sesuatu Pihak Berkuasa Tempatan kerana kenggotaan sesuatu Majlis PBT  hendaklah dibuat secara pelantikan ( by appointment).

    Walaupun pilihan raya kerajaan tempatan berada di bawah bidang kuasa Negeri, namun berdasarkan Perkara 95A(6) Perlembagaan Persekutuan, perubahan dasar berhubung dengan apa-apa cadangan untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah diputuskan terlebih dahulu oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT).

    Sekiranya Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) memutuskan bahawa Anggota Majlis sesuatu PBT hendaklah dibuat melalui pilihanraya, maka ianya boleh dilaksanakan dengan cara berikut:-

    1. Seksyen 10 dan Seksyen 15 Akta 171 perlu dipinda dan dikaji semula apa-apa peruntukan sedia ada yang lain berkaitan dengan pelantikan Anggota Majlis;
    2. Semua cadangan pindaan kepada Akta 171 hendaklah diterima pakai oleh semua Negeri supaya wujud keseragaman dalam pemakaian undang-undang itu; dan
    3. Peraturan-peraturan bagi menjalankan pilihanraya kerajaan tempatan hendaklah diwujudkan.

    Oleh yang demikian, SPR tidak boleh menguatkuasakan Akta 473 untuk menjalankan pilihanraya kerajaan tempatan bagi Negeri Selangor sehingga segala tindakan berdasarkan cadangan yang dinyatakan di ambil tindakan.

  2. Sila lampirkan draf pelaksanaan pemilihan Ahli Majlis melalui pilihanraya.

    Draft pelaksanaan pemilihan Ahli Majlis melalui pilihan raya tidak dapat disertakan memandangkan ianya masih diperingkat kajian lanjut.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.