Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
44) PEMILIHAN AHLI MAJLIS
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kriteria pemilihan Ahli Majlis yang berwibawa?
Kriteria asas pemilihan Ahli Majlis yang berwibawa adalah berdasarkan Seksyen
10(2) dan 10(3) Akta 1976 (Akta 171) seperti berikut:-
Seksyen 10(2), Akta 171
“Anggota Majlis pihak berkuasa tempatan hendaklah dilantik di antara orang yang bilangan terbesar daripada mereka hendaklah orang yang biasanya bermastautin dalam kawasan pihak berkuasa tempatan itu dan yang pada pendapat Pihak Berkuasa Negeri mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal kerajaan tempatan atau yang telah memperoleh kejayaan terpuji dalam sesuatu profesion, perdagangan atau perindustrian, ataupun yang mempunyai kebolehan untuk mewakili kepentingan komuniti mereka dalam kawasan pihak berkuasa tempatan itu.”
Seksyen 10(3), Akta 171
“Tempoh jawatan bagi setiap Anggota Majlis tidak boleh lebih daripada tiga tahun.”
-
Apakah langkah untuk memastikan Ahli Majlis tidak salah guna kuasa?
Di dalam memastikan pemilihan Ahli Majlis bebas dari salah laku kuasa , Kerajaan Negeri telah menetapkan mekanisme pelantikan Ahli Majlis supaya isu seperti ini tidak timbul dengan mendapatkan laporan bagi :-
- Tapisan keselamatan oleh Kementerian Dalam Negeri;
- Tapisan Keselamatan oleh SPRM; dan
- Pengisytiharan tidak bankrap dari Jabatan Insolvensi;
Selain daripada itu, kaedah yang digunapakai adalah dengan menyediakan tatacara yang lengkap dan jelas sebagai panduan kepada Ahli – Ahli Majlis untuk menjalankan tugas mereka. Ahli Majlis telah diberi taklimat dan diedarkan senarai peranan dan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Majlis dan dipanggil untuk menyertai Kursus Asas Ahli Majlis yang diadakan sebanyak dua (2) sesi dalam masa setahun.
Ahli-ahli Majlis yang telah dilantik akan tertakluk di bawah surat Aku Janji dan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan 1972 yang telah mereka tandatangani. Mereka juga perlu merujuk kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).