Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
301) PEMERKASAAN WANITA
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah ikhtiar Kerajaan Negeri untuk membantu usahawan wanita?
Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah mengambil langkah dan ikhtiar untuk membantu usahawan wanita dalam memajukan perniagaan mereka dengan melaksanakan Program Latihan dan Pembangunan Kapasiti melalui Program Digital Media Usahanita Muda dan Program Pusat Wanita Berdaya.
- Program Insentif Digital Media Usahanita Muda
YAB Dato’ Seri Amirudin bin Saari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 25 November 2023, telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000.00 di dalam Belanjawan Negeri Selangor 2023 bagi pelaksanaan pada tahun 2023. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Selangor komited dan menyokong usaha melatih wanita muda meneroka dunia perniagaan melalui platform digital media. Untuk pengetahuan Ahli Yang Berhormat, Wanita Berdaya Selangor telah menerima 237 permohonan untuk menyertai program ini.
- Program Pusat Wanita Berdaya (PWB)
PWB turut menganjurkan program latihan dan Pembangunan Kapasiti berdasarkan Modul Keusahawanan diperingkat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai bantuan atau latihan khas untuk membantu golongan ibu tunggal untuk memulakan perniagaan taska?
Secara umumnya, inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan adalah terbuka kepada semua termasuk golongan ibu tunggal. Bagi perniagaan taska, terdapat beberapa inisiatif yang berkaitan yang boleh disertai oleh ibu tunggal, antaranya:
- Bagi pengasuh di rumah, Kerajaan Negeri melaksanakan program Iltizam Penjagaan & Pendidikan Awal Kanak-kanak Negeri Selangor (IMPAK). Program tersebut merangkumi latihan/kursus asas bidang pengasuhan kepada semua pengasuh di rumah yang mengasuh anak asuhan tidak lebih dari 3 orang. Susulan daripada latihan tersebut, Kerajaan Negeri akan menyenarai pendek 200 peserta yang layak untuk diberikan geran sebanyak RM2,000 bagi peserta menambah baik fasiliti dan keperluan pengasuhan.
- Bagi pengusaha taska atau tadika yang tidak berdaftar, Kerajaan Negeri sedang dalam perancangan untuk menggalakkan pendaftaran menerusi pemberian geran. Maklumat lanjut berkenaan inisiatif ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.