Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

132) PEMERKASAAN USAHAWAN KECIL DAN SEDERHANA

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan kecil dan sederhana untuk meluaskan pasaran produk di peringkat nasional dan antarabangsa?

    Antara langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan kecil dan sederhana untuk meluaskan pasaran produk di peringkat nasional dan antarabangsa adalah seperti penglibatan usahawan – usahawan tempatan dalam program pameran yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri seperti;-

    i. Selangor International Business Summit (SIBS).

    Usahawan Kecil dan Sederhana telah dijemput bagi menyertai program pameran SIBS yang diadakan bagi mempromosikan produk keluaran mereka. Selangor International Business Summit Hybrid 2021 (SIBS 2021)’ edisi yang kelima telah diadakan pada 7 – 10 Oktober 2021 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre dan juga secara virtual di www.selangorbusinesshub.my.

    Bagi tahun 2022, penganjuran SIBS bagi edisi ke enam akan diteruskan dan program pameran dan persidangan ini dijadualkan akan diadakan pada 6 – 9 Oktober 2022 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur.

    Menerusi SIBS, ia akan memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan serta memberi peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama perniagaan untuk kepentingan bersama.

    Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dan Negara-Negara luar serta menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hub perdagangan bagi rantau ASEAN.

    Antara komponen-komponen program sepanjang SIBS diadakan seperti:

    i. Selangor International Expo (F&B)

    ii. Selangor International Expo (MEDIC)

    iii. Selangor Industrial Park Expo (SPARK)

    iv. Selangor ASEAN Business Conference (SABC)

    v. Selangor Smart City and Digital Economy (SDEC)

    vi. Selangor R&D and Innovation Expo (SRIE)

    vii. Selangor International Culinary Festival

     

    ii. Selangor Smart City and Digital Economy Convention (SDEC).

    Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec) telah memastikan bahawa syarikat tunas rintisan (startup) dan para usahawan yang telah menyertai program-program di bawah Sidec diberi peluang dan dijemput untuk menjadi pempaper di Selangor Smart City and Digital Economy Convention (SDEC).

    Konvensyen tahunan ini mengumpulkan pemimpin industri, ahli akademik, PKS, sektor kerajaan dan swasta, untuk mendalami cara memperkukuh dan mengembangkan ekosistem pendigitalan PKS Selangor dalam membentuk rangka kerja dan penyelesaian bandar pintar dan ekonomi digital sedia ada dan masa hadapan.

    Peluang menjadi pempamer ketika konvensyen ini secara tidak langsung memberikan usahawan kecil dan sederhana di bawah seliaan Sidec sebuah platform untuk meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat nasional dan antarabangsa.

    Sumber : Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec)

     

    iii. Selangor International Halal Convention (SELHAC) / Selangor Halal Industri Expo

    Program pameran ini dijadualkan akan diadakan pada 4, 5 & 6 Mac 2022 bertempat di Shah Alam Cenvention Centre (SACC), Shah Alam, Selangor.

    Objektif perlaksanaan program ini untuk membangunkan ekosistem dan infrastruktur halal yang holistik disamping memberdaya pembangunan industri halal di Selangor bagi meluaskan pasaran ke peringkat global.

    Antara komponen program yang diatur sepanjang expo ini berlangsung seperti forum, expo dan juga Business Matching bagi membantu usahawan tempatan meneroka peluang pasaran dan meluaskan pasaran yang sedia ada.

    Expo industri yang diadakan ini akan melibatkan usahawan yang terlibat dalam pengeluaran makanan dan minuman, farmaseutikal, bahan asas makanan (ingredients), produk kecantikan dan penjagaan diri, hotel dan pelancongan serta Modest fasyen.

    Sumber : Jawatankuasa Tetap Industri Halal Selangor.

     

    iv. Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor (JTPUNS) menyediakan beberapa program untuk usahawan negeri Selangor. Bagi usahawan yang mempunyai produk yang berkualiti dan ingin meningkatkan produktiviti boleh memohon geran Dana Usahawan Mikro Selangor untuk bantuan peralatan dan mesin sehingga RM30,000.00. Tertakluk kepada terma & syarat.

    Selain itu Kerajaan Negeri menyertai penganjuran pameran & ekspo tempatan seperti MIHAS, PIHEC (Penang), SIWE (Sabah) & SIE /SIBS. Manakala setiap tahun JTPUNS akan menyertai satu (1) pameran antarabangsa seperti baru – baru ini penyertaan ke GULFOOD Dubai pada 13-17 Februari 2022 membawa 2 koperasi dan 4 syarikat telah berjaya membawa rundingan kontrak sebanyak RM7.5 juta dan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) bersama restoran tempatan di sana. Usahawan yang ingin mencuba untuk membuat jualan di pasaraya dengan skala kecil boleh memasarkan produk mereka ke pasaraya KOHIJRAH dengan minimum kuantiti 10 unit sahaja dan sewaan rak secara percuma. Bagi usahawan yang berniaga barangan basah seperti ikan/ayam/daging dan sayuran boleh memasarkan produk mereka secara atas talian melalui platform SELDEC. Selain itu Kerajaan Negeri juga memberikan peruntukan kepada agensi untuk baucer pembelian barangan pada musim perayaan.

    Sumber : Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor (JTPUNS)

  2. Bagaimanakah usahawan boleh dibantu dalam bentuk penambahan pengetahuan dan kemahiran?

    Dalam membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, berbagai program latihan telah diatur oleh pihak Kerajaan Negeri untuk ditawarkan kepada usahawan – usahawan yang berminat melalui agensi – agensi dibawah Kerajaan Negeri seperti berikut;-

    i. Program Latihan Kemahiran dibawah Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec).

    Dalam usaha menambah pengetahuan dan kemahiran usahawan, terutamanya dalam memperkasakan perniagaan Selangor dan pendigitalan PKS, Kerajaan Negeri melalui Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec) telah giat dalam melaksanakan dan menambah baik program-program e-dagang, startup dan pendigitalan PKS. Antara program utama Sidec dalam membantu para usahawan adalah Kelas E-Dagang Sidec dan Masterclass (Kelas Lanjutan Sidec)

    Kelas E-Dagang Sidec (EC Class) merupakan program tahunan yang memberi fokus kepada pemberian kemahiran (skilling), pelaksanaan peningkatan kemahiran (Upskilling) dan latihan semula (Reskilling) untuk para peniaga yang menceburi bidang e-dagang buat pertama kali.

    Ia merupakan kelas yang paling popular di mana 8,841 peserta dicatatkan pada tahun 2015 hingga 2020 sepanjang penubuhan Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) sebelum ini.

    Bagi tahun 2021, lapan modul melalui 15 kelas telah berjaya dilaksanakan. Program yang terpaksa dijalankan secara maya akibat pandemik Covid-19 ini juga telah mencatatkan seramai 4,429 usahawan daripada pelbagai latar belakang perniagaan mengikuti kelas ini dan ini menunjukkan semakin ramai usahawan telah mula menunjukkan minat untuk memulakan langkah pertama dalam menambah baik perniagaan mereka.

    Kelas Masterclass E-Dagang Sidec (EC Masterclass) pula adalah program latihan lanjutan untuk program kelas e-dagang dengan mensasarkan usahawan atau PKS yang sudah mempunyai perniagaan dalam e-dagang untuk meningkatkan lagi kemahiran dan perniagaan mereka.

    Program ini bertujuan untuk memberikan kemahiran teknikal (hands-on) melalui latihan intensif secara langsung. Modul latihan untuk program ini lebih menumpukan kepada topik pemasaran digital sebagai salah satu inisiatif Sidec untuk melahirkan usahawan berimpak tinggi di Selangor.

    Lapan topik telah diperkenalkan untuk sesi EC Masterclass pada tahun 2021 dengan empat topik dijalankan dalam Bahasa Malaysia dan empat topik dalam Bahasa Inggeris. Usaha-usaha yang telah dikongsikan diharapkan boleh menonjolkan Selangor sebagai pusat perniagaan dan perdagangan serantau di Asia Tenggara melalui pembinaan ekosistem digital yang simbiotik.

    Pada tahun ini, kelas-kelas E-Dagang Sidec akan diteruskan dan diluaskan lagi dengan Jelajah Usahawan Digital Selangor yang bakal berlangsung dengan edisi pertama pada bulan Mac 2022. Program ini bertujuan untuk memberi khidmat bantuan dan dorongan kepada syarikat-syarikat tempatan, usahawan-usahawan dan peniaga-peniaga di lokasi-lokasi terpilih di Selangor yang ingin memulakan perniagaan e-dagang.

    Sumber : Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec).

     

    ii. JTPUNS ada menganjurkan kursus & latihan berbentuk pengurusan perniagaan, pemasaran & jenama, kewangan serta beberapa siri kursus kemahiran. Manakala di bawah Yayasan HIJRAH Selangor selain memberi pinjaman mikrokredit mereka juga menyediakan kursus inkubator seperti Zero to Hero dan mentor-menti yang membimbing usahawan sehingga berjaya menjana pendapatan sendiri.

    Sumber : Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor (JTPUNS)

  3. Apa langkah kerajaan bagi merapatkan jurang pencapaian antara setiap usahawan?

    Dalam usaha untuk mengurangkan jurang pencapaian antara usahawan, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah – langkah seperti berikut;-

    i. Penyediaan latihan kemahiran kepada usahawan – usahawan yang berminat.

    ii. Program Business Matching antara usahawan – usahawan untuk membantu meluaskan pasaran serta kerjasama perniagaan bagi kepentingan bersama.

    iii. Penyediaan peluang – peluang bagi usahawan kecil untuk meneroka dan mengembangkan produk keluaran ke pasaran global melalui penganjuran expo atau pameran.

    iv. Program mentor – menti bagi membimbing usahawan – usahawan kecil hingga berjaya menjana pendapatan sendiri.

    v. Program-Program yg dilaksanakan Kerajaan Negeri, samaada dijalankan secara terus atau kerjasama  pihak agensi seperti  geran bantuan /pinjaman mikrokredit, program promosi, latihan & lain-lain dapat meningkatkan prestasi perniagaan serta jurang sesama mereka.  Selain itu, inisiatif usahawan itu sendiri yang sebenarnya akan memberi impak positif dan kejayaan kepada perniagaan mereka

Lampiran

Tiada Lampiran.