Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
85) PEMERKASAAN USAHAWAN KECIL DAN SEDERHANA
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan kecil dan sederhana untuk meluaskan pasaran produk di peringkat nasional dan antarabangsa?
Antara langkah – langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan kecil dan sederhana untuk meluaskan pasaran produk ke peringkat nasional dan antarabangsa seperti berikut;-
- Bantuan dalam mengembangkan pasaran produk IKS – Dalam usaha membantu syarikat IKS di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor telah menyediakan medium atau platform yang boleh membantu usahawan – usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan dan pasaran ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan usahawan – usahawan tempatan dalam pameran yang diadakan di dalam dan luar negara seperti program Selangor International Business Summit, Penang International Halal Expo 2019, Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2019, The world Food & Beverage Great EXPO / Premium Food Show 2019 Japan, HOFEX Hong Kong 2019, SIAL Jakarta 2019 dan lain – lain dimana sebahagian kos penyertaan ditanggung oleh Kerajaan Negeri melalui peruntukkan Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan dan IKS Negeri Selangor.
Disamping penyertaan dalam pameran yang diadakan, pihak Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor juga turut membantu pihak syarikat untuk mengadakan pertemuan “Business Matching” bersama “Potential Buyers” sewaktu penyertaan di dalam program – program pameran di peringkat antarabangsa.
- Bantuan Pemasaran Produk Secara Atas Talian (Online) – melalui program ini, Kerajaan Negeri melalui SITEC menyediakan latihan kemahiran kepada usahawan – usahawan IKS yang berminat untuk memasarkan produk keluaran mereka secara atas talian (online).
- Program Pembungkusan Produk Made In Selangor (MIS)
Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah dana setiap tahun bagi memperkasakan dan melahirkan usahawan berjaya di dalam Negeri Selangor. Program sebegini adalah usaha untuk memberi value added kepada produk tempatan agar dapat meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke pasaran antarabangsa (market penetration and expansion). Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri mengadakan Program Pembungkusan Produk Made In Selangor (MIS) kepada usahawan yang sudah bersedia untuk mempertingkatan kualiti pembungkusan dan pensijilan produk. Peserta yang mengikuti program ini akan menerima pensijilan produk, rekabentuk jenama, pendaftaran jenama (MyIPO) dan cetakan pembungkusan yang diperbaharui.
-
Bagaimanakah usahawan boleh dibantu dalam bentuk penambahan pengetahuan dan kemahiran?
Antara usaha yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri dalam membantu usahawan bagi menambah pengetahuan dan kemahiran adalah;-
- Program kemahiran dan latihan secara atas talian (online);
Kerajaan Negeri melalui Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC, para usahawan diberi latihan dan kemahiran dari segi pemasaran produk secara atas talian (online). Melalui SITEC, usahawan diberi latihan dan pendedahan mengikuti modul-modul yang telah ditetapkan seperti asas perniagaan online, pengurusan produk, pemasaran secara digital dan perkara – perkara lain yang penting dalam perniagaan secara atas talian. Jurulatih yang akan mengendalikan kelas pula adalah dari kalangan pakar daripada industri.
(Sumber : Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC)
- Program – program pemantapan pengetahuan dan kemahiran;
Setiap tahun Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan ada menyediakan pelbagai jenis kursus untuk usahawan. Tawaran kursus ini adalah terbuka kepada semua usahawan di Negeri Selangor. Setiap sesi kursus akan di tawarkan kepada 50-100 usahawan sahaja. Tawaran tempat adalah terhad mengikut kesesuaian usahawan dan jenis kursus yang ditawarkan dan bagi memastikan keberkesanan impak kursus kepada peserta. Berikut merupakan jenis kursus yang ditawarkan kepada usahawan bagi tahun 2019:
Bil Nama kursus/seminar Peserta Catatan 1. Bengkel Facebook Beginner & Teknik Asas Fotografi – Smartphone Untuk Pemasaran 50 orang Telah laksana 2. Seminar Peningkatan Jualan Melalui Online “Revolusi Perniagaan Internet” 50 orang Telah laksana 3. Bengkel Advance Smartphone Photo And Videography Editing 50 orang Telah laksana 4. Kursus Advance Facebook Marketing – Targeting Strategies 50 orang Telah laksana 5. Kursus (Insken)- Melonjakkan Jualan Dengan Pengesahan Pasaran Yang Berkesan – Product And Market Validation 30 orang Telah laksana 6. Kursus Pengurusan Perniagaan Dan Kewangan Kepada Peniaga Kecil & Sederhana 60 orang Telah laksana 7. Taklimat Elakkan Disenaraihitam 80 orang Telah laksana (Sumber : Seksyen Pembangunan Usahawan, UPEN)
-
Apa langkah kerajaan bagi merapatkan jurang pencapaian antara setiap usahawan?
Dalam usaha merapatkan jurang pencapaian antara usahawan, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sentiasa memberikan bantuan khidmat nasihat serta bantuan lain yang diperlukan kepada pihak usahawan bagi penambahbaikan produk keluaran mereka agar produk yang dikeluarkan dapat menembusi pasaran sama ada dalam dan luar Negara.
Selain itu, pihak Invest Selangor menyediakan platform seperti penyertaan dalam pameran dalam dan luar Negara serta secara atas talian kepada pihak usahawan untuk mempromosikan dan memasarkan produk keluaran mereka ke peringkat global.
Dari segi bantuan modal bagi pembesaran dan pengembangan perniagaan pula, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor telah mengadakan kolaborasi dengan Association of Islamic Banking Institution Malaysia (AIBIM) untuk menyediakan bantuan kewangan bagi pembesaran dan pengembangan operasi syarikat. Kolaborasi diantara pihak Invest Selangor bersama pihak AIBIM telah dimeterai dengan satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah dimetrai pada program MIHAS 2019 baru-baru ini. Memorandum persefahaman ini adalah merupakan usaha oleh pihak Kerajaan Negeri untuk membantu usahawan-usahawan bagi mendapatkan sumber kewangan berbentuk pinjaman daripada 26 buah institusi perbankan islam yang bernaung di bawah AIBIM. Satu program perintis yang dinamakan sebagai “Program Transformasi Kewangan Hijrah Selangor “ telah berlansung dengan jayanya. Seramai 100 orang usahawan yang telah dipilih daripada program HIjrah Selangor untuk dilatih serta berpeluang bagi mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan Islam di Malaysia.