Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
206) PEMERKASAAN MAHKAMAH SYARIAH
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: hal ehwal islam
Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan mahkamah syariah di Selangor?
Kertas cadangan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah secara seragam yang dikemukakan oleh pihak Jabatan Peguam Negara telah dibentangkan dalam Mesyuarat MAIS Khas Bil 2/2015, dan MAIS memutuskan agar perkara tersebut dipersembah kepada DYMM Sultan Selangor untuk mendapat perkenan. Walau bagaimanapun, semasa majlis Menghadap DYMM Sultan Selangor pada 23 Januari 2015, DYMM Sultan Selangor menangguhkan perkenan untuk cadangan tersebut dilaksanakan pada masa ini.
Antara usaha Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) untuk memperkasakan Mahkamah Syariah di Selangor adalah seperti berikut :
- Membuat permohonan pengukuhan perjawatan yang melibatkan kenaikan gred jawatan-jawatan Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Ketua Pendaftar dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah bagi semua lokasi Mahkamah Syariah Selangor.
- Pelaksanaan proses kerja perceraian secara Fast Track iaitu proses penyelesaian kes perceraian persetujuan bersama dalam tempoh 6 jam. Pelaksanaan proses kerja ini melibatkan pihak-pihak yang telah bersetuju untuk bercerai dan isteri dalam keadaan suci (boleh diceraikan). Proses kerja ini membolehkan kes perceraian tersebut akan didengar dan diputuskan pada hari yang sama dan perintah perceraian akan dikeluarkan pada hari yang sama.
- Pelaksanaan penyelesaian kes perceraian yang tidak mempunyai persetujuan bersama antara suami dan isteri melalui pelantikan Hakam yang dilantik bagi suami dan bagi isteri yang bertanggungjawab sama ada untuk mendamaikan atau menceraikan kedua-dua pasangan tersebut setelah Mahkamah Syariah berpuashati bahawa perkahwinan tersebut telah pecah belah dan berlaku perbalahan yang berpanjangan serta tidak boleh diselesaikan lagi. Dengan pelantikan hakam tersebut, pasangan suami isteri boleh diceraikan sekiranya usaha untuk mendamaikan mereka gagal.
- Menjalankan proses perbicaraan pada waktu malam bagi mempercepatkan penyelesaian kes yang melibatkan pihak-pihak yang sukar menghadiri perbicaraan pada hari siang.
- Melaksanakan perbicaraan di luar Mahkamah (mobile court) yang membolehkan perbicaraan dilaksanakan di lokasi pihak-pihak yang memfailkan kes. Sebagai contoh perbicaraan bagi permohonan Wali Raja yang telah diadakan di perkampungan orang asli di Daerah Hulu Langat.
- Mewujudkan perkhidmatan rundingcara yang dikendalikan oleh Pegawai Syariah bagi memberikan penerangan berkaitan dengan prosedur Mahkamah bagi mengelakkan pihak-pihak membuat kesilapan semasa mendaftarkan kes di kaunter.
- Mewujudkan manual untuk mengisi borang pendaftaran kes sebagai panduan kepada pelanggan dalam mengisi borang untuk pemfailan kes.
- Melaksanakan program literasi undang-undang yang memberikan pendedahan kepada masyarakat awam melalui program turun padang program 3K, program turun padang BSK dan ceramah kesedaran undang-undang yang dianjurkan oleh berbagai-bagai pihak.
-
Adakah Kerajaan Negeri melakukan kajian terhadap pindaan RUU355?
Kerajaan tidak membuat kajian terhadap pindaan RUU355 kerana RUU 355 adalah merupakan akta Persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri sentiasa mengikuti perkembangan pindaan tersebut kerana ianya melibatkan bidangkuasa jenayah Syariah di seluruh negeri di Malaysia.