Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

157) PEMERKASAAN HAK KANAK-KANAK

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan terlalu banyak kes kanak-kanak seperti penculikan, pemerdagangan juga penderaan, apakah usaha KNS bagi memastikan hak jaminan keselamatan kanak-kanak?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMN Selangor) telah merangka dan melaksanakan program-program bagi menangani kes penculikan, pemerdagangan dan penderaan kanak-kanak seperti berikut:

    1.Latihan Keselamatan

    Program latihan keselamatan kanak-kanak bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Negeri Selangor Tahun 2015 yang diadakan pada 27 November 2015. Sejumlah 2,278 orang kanak-kanak daripada 52 buah TASKA telah menyertai program latihan keselamatan dalam menghadapi situasi kebakaran bagi meningkatkan kesedaran kanak-kanak, ibu bapa dan pengusaha TASKA berkenaan keselamatan kanak-kanak.

    2.Hari TASKA Tahun 2016

    JKMN Selangor dengan kerjasama Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Persatuan TASKA Negeri Selangor (PTNS) telah menganjurkan Hari TASKA Tahun 2016 pada 11 Ogos 2016 dengan tema “Keep Me Safe” @TASKA @Home” di mana ia melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Objektif program ini adalah meningkatkan kesedaran kepada semua ibu bapa, penjaga, pengusaha/pengasuh TASKA berkenaan perlindungan kanak-kanak di TASKA dan di rumah.

    3.Program Kecerdasan Emosi

    JKMN Selangor melalui Bahagian Kaunseling dan Psikologi telah menganjurkan program Kecerdasan Emosi Kanak-Kanak pada tahun 2015 dan 2016. Objektif program adalah mendedahkan kanak-kanak kepada isu sosial dan perlindungan kanak-kanak dan seterusnya meningkatkan kendiri mereka supaya dapat menghadapi isu sosial dan keselamatan.

    4.Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Di Sekolah Sahabat Bijak: Safe & Protect

    Bagi tahun 2016, JKMN Selangor telah merancang untuk mengadakan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Di Sekolah Sahabat Bijak: Safe & Protect. Kempen ini adalah bagi tujuan:

    1. Menyebar luas maklumat berkaitan keselamatan kanak-kanak
    2. Memberi kesedaran kepada ibu bapa/penjaga, guru-guru serta masyarakat tentang pentingnya untuk menjaga keselamatan kanak- kanak
    3. Memberi pendedahan literasi undang-kepada semua pihak berkaitan hukuman yang dikenakan kepada pesalah kanak-kanak
    4. Memberi pendedahan kepada kanak-kanak, ibu bapa/penjaga, guru- guru serta masyarakat tentang bentuk-bentuk bantuan berkaitan dengan keselamatan kanak-kanak

    Fasa pertama kempen ini akan dijalankan di sekolah-sekolah seperti jadual berikut:

    BIL. NAMA SEKOLAH TARIKH
    1. S.K. Bukit Badong, Kuala Selangor 26 Okt 2016
    2. S.K. Merbau Sempak, Shah Alam 27 Okt 2016
    3. S.K. Taman Rakan, Hulu Langat 7 Nov 2016
    4. S.K. Doktor Abdul Latiff, Sabak Bernam 9 Nov 2016
    5. S.K. Kg. Soeharto, Hulu Selangor 10 Nov 2016
    6. S.K. Bandar Banting, Kuala Langat 15 Nov 2016

     

    5.Rondaan Oleh Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)

    JKMN Selangor juga dalam perancangan bekerjasama dengan PDRM agar pihak PDRM dapat membuat rondaan berkala di premis yang memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak seperti TASKA, Tadika dan pusat jagaan kanak-kanak.

    6. Talian Kasih 15999

    Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah menyediakan satu talian hotline iaitu Talian Kasih 15999 bagi mana-mana pihak membuat sebarang aduan berkenaan penderaan kanak-kanak pada bila-bila masa.

     

  2. Berapakah peruntukan khusus untuk program memperkasakan kanak-kanak yang di sediakan setiap tahun? Nyatakan.

    Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor telah disalurkan dengan peruntukan berjumlah RM635,425 seperti pecahan di bawah bagi menjalankan program advokasi berkenaan perlindungan dan pemulihan serta program pemerkasaan kanak-kanak.

    BIL. NAMA PROGRAM JUMLAH

    (RM)

    1. Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah (PPKK) 289,000
    2. Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah (JKKD) 55,000
    3. Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) 9,000
    4. Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Di Sekolah Sahabat Bijak : Safe and Protect 5,000
    5. Program Selangor Kids Volunteerism (SKV) 111,710
    6. Sambutan Hari Kanak-Kanak Negeri Selangor 2014 82,430
    7. Sambutan Hari Kanak-Kanak Negeri Selangor 2015 83,285
    JUMLAH 635,425

     

  3. Nyatakan program yang di laksanakan setiap tahun?

    Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor telah mengadakan beberapa program bagi memperkasa kanak-kanak dan memastikan kesejahteraan mereka adalah terjamin melalui program berikut:

    1- Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK)

    PPKK ditubuhkan di setiap daerah berfungsi sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak. Di antara aktiviti yang dikendalikan oleh PPKK ialah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) yang dirancang dan dilaksanakan mengikut keperluan masyarakat setempat. PPKK ini kemudiannya akan menubuhkan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) yang akan menyediakan program berbentuk seminar, kursus dan bengkel serta intervensi berbentuk motivasi, bimbingan kaunseling dan sukan. Sehingga kini, Selangor mempunyai 17 buah PAKK seperti di bawah:

     

     

    BIL.

     

    DAERAH

    NAMA PUSAT AKTIVITI KANAK-KANAK (PAKK)
     

    1

     

    Petaling

    1. PAKK Taman Medan
    2. PAKK Taman Putra Damai
    3. PAKK Shah Alam
    4. PAKK Subang Jaya
    2 Klang 1. PAKK Taman Seri Andalas
    3 Sabak Bernam 1. PAKK Taman Gemilang
    2. PAKK Taman Perpaduan
     

    4

     

    Gombak

    1. PAKK Kg. Bendahara
    2. PAKK Teratak, Selayang
    3. PAKK Hulu Klang
    5 Hulu Selangor 1. PAKK Taman Sentosa
    6 Kuala Langat 1. PAKK Banting
    2. PAKK Kg. Kundang
    7 Sepang 1. PAKK Salak Tinggi
    2. PAKK Taman Putra Perdana
    8 Kuala Selangor 1. PAKK Kuala Selangor
    9 Hulu Langat 1. PAKK Kajang

    2-Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah (JKKD)

    JKKD ditubuhkan di setiap daerah bagi berfungsi sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan pemulihan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah atau masalah sosial. Ahli JKKD dilantik daripada golongan masyarakat setempat dengan pelbagai latar belakang dari segi profesyen dan akademik. Mereka akan membantu Jabatan dalam meenggalakkan penyertaan masyarakat dalam pencegahan jenayah dan kerosakan akhlak dalam kalangan kanak-kanak.

    3-Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Di Sekolah Sahabat Bijak: Safe & Protect

    Kempen ini akan diadakan pada setiap tahun di mana ia adalah usaha untuk mencegah, mengelak atau membanteras kanak-kanak dari menjadi mangsa kegiatan jenayah yang berupa penderaan dan eksloitasi dari aspek fizikal, seksual, emosi dan pengabaian.

    Program ini adalah dalam bentuk advokasi dan literasi undang-undang yang akan bergerak dari sekolah ke sekolah. Kempen ini merupakan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Stretegy) JKM bersama Jabatan Pendidikan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Agensi Anti Dadah (AADK), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Bomba dan Penyelamat, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan PIBG.

    4- Program Selangor Kids Volunteerism

    Pewujudan sukarelawan kanak-kanak Negeri Selangor atau dikenali sebagai Selangor Kids Volunteerism adalah inisiatif bersama antara Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor dan JKMN Selangor. Objektif program adalah:

    • meningkatkan kesedaran kanak-kanak berkaitan amalan dan nilai murni bagi membentuk peribadi seimbang;
    • memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyertai, menyumbang idea dan bagi bagi peningkatan potensi diri;
    • menanam sifat tanggungjawab, prihatin dan rasa ingin menolong terhadap masyarakat tanpa mengharapkan balasan;
    • memberi galakan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan pandangan secara bertanggungjawab dan beretika bagi merangka program demi kepentingan kanak-kanak.

    Kanak-kanak yang terlibat dalam program Selangor Kids Volunteerism akan lebih terdedah kepada perkhidmatan JKM dan perkara-perkara berkaitan kanak-kanak seperti hak dan isu perlindungan kanak-kanak. Kanak-kanak ini kemudiannya akan menjadi pihak yang akan menyebarluaskan isu hak dan perlindungan kanak-kanak melalui hubungan antara mereka dan rakan-rakan yang lain.

    Sehingga September 2016, JKMN Selangor telah mendaftarkan sejumlah 279 orang kanak-kanak sebagai Selangor Kids Volunteerism.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.