Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

164) PEMERKASAAN BELIA

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkasakan belia melalui peluang pekerjaan, latihan kemahiran, dan keusahawanan?

    Umum mengetahui Kerajaan Negeri Selangor adalah penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia dengan anggaran 25% setiap tahun. Namun, Kerajaan Negeri masih berhadapan dengan cabaran untuk menyeimbangkan jalur ekonomi di antara bandar dan luar bandar. Oleh yang demikian, melalui Rancangan Selangor 1 (RS-1), tumpuan utama adalah penyediaan peluang ekonomi yang menjana pendapatan dan intervensi sosial melalui teknologi semasa. Secara umumnya, Kerajaan Negeri sedang menumpukan kepada pembangunan infrastruktur utama yang melibatkan kawasan luar bandar seperti Pembangunan Carey Selangor, IDRISS, SABDA dan Selangor Aero Park yang pastinya memberi peluang dan menyediakan prospek pekerjaan kepada belia-belia di Negeri Selangor.

    Bagi jangka pendek, Kerajaan Negeri melalui RS-1 telah menyediakan pelbagai platform pemerkasaan ekonomi. Antaranya adalah;

    1. Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)
    2. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
    3. Pinjaman Mikro Kredit Hijrah Selangor
    4. Skim Pembiayaan Digitalisasi (GO Digital)
    5. Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC)
    6. Liga Usahawan OKU Selangor – SAY LEAD
    7. Liga Usahawan Eksport Selangor – SAY ASPIRE

    Kerajaan Negeri melalui Yayasan Hijrah  Selangor (YHS) juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan belia dalam keusahawanan. Salah satu inisiatif utama adalah dengan menyediakan pembiayaan mikro kepada usahawan di Selangor yang turut memanfaatkan golongan belia. Sehingga September 2024, bilangan pembiayaan untuk usahawan belia ialah sebanyak 34,634 yang merangkumi 38% daripada keseluruhan pembiayaan YHS, dengan jumlah pembiayaan mencecah RM321 juta. Pembiayaan ini bukan sahaja menyediakan modal tambahan untuk mengembangkan perniagaan mereka, tetapi juga menawarkan latihan keusahawanan yang membantu memperkukuh kemahiran serta meningkatkan pengetahuan dalam bidang perniagaan.

  2. Apakah rancangan kerajaan untuk membangunkan kemudahan sukan bagi membolehkan belia terlibat dalam aktiviti sukan?

    Kerajaan Negeri sangat menyokong segala aktiviti dan gaya hidup sihat yang sangat digalakkan kepada masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar. Untuk makluman, segala kemudahan sukan adalah dibawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Antara usaha PBT yang disokong oleh Kerajaan Negeri adalah seperti Taman Belia, Kampung Sungai Kantan yang mempunyai fasiliti sukan seperti gelanggang sukan, takraw dan badminton. Selain daripada itu, salah satu inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan kebolehcapaian kemudahan sukan bagi masyarakat adalah dengan memperuntukan dana melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) untuk membaikpulih atau menaiktaraf kemudahan sukan sedia ada seperti gelanggang futsal, sepak takraw, bola keranjang, badminton, bola jaring dan kemudahan sukan yang lain.

  3. Apakah langkah kerajaan untuk menagani isu kesihatan mental dalam kalangan belia, termasuk menyediakan sokongan psikologi dan kaunseling?

    Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, garis panduan sistem rujukan murid dengan masalah kesihatan mental di sekolah ke fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia pada masa kini sedang diperhalusi.

     

    Seterusnya, The National Plan of Action For Child and Adolescent Mental Health 2025-2030 sedang dibangunkan oleh NCEMH dengan kerjasama agensi berkaitan dan WHO.

     

    Dalam hal ini juga, Pelan Tindakan bagi Program Kesihatan Mental Tahun 2024 di Selangor merangkumi tujuh (7) strategi seperti yang digariskan oleh Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (National Centre of Excellence of Mental Health, NCEMH), KKM.

     

    Strategi 1: Pengukuhan Kolaborasi Inter-Sektoral serta Kerjasama Merentas Agensi

    • Mesyuarat Teknikal Kesihatan Mental di peringkat Jabatan Negeri Selangor. Melibatkan semua stakeholders (Pakar Psikiatri, Kaunselor, Pejabat Kesihatan Daerah, Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Pendidikan, NGO). Dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali setahun. Untuk membentangkan pencapaian program, membincangkan isu dan langkah penambahbaikan serta kolaborasi bersama agensi lain

     

    Strategi 2: Meningkatkan Kemahiran Dan Pengetahuan Bagi Pengendalian Kesihatan Mental Di Peringkat Fasiliti Kesihatan Primer Dan Juga Unit Kesihatan Ibu Dan Anak.

    • Perkhidmatan Minda Sihat di fasilliti kesihatan primer. Program rintis MyMinda menyasarkan 1 klinik kesihatan bagi setiap daerah. Saringan kesihatan mental (menggunakan saringan Whooley dan GAD-2) dalam kalangan klien berisiko di Jabatan Pesakit Luar.
    • Perkhidmatan Minda Sihat di Unit Kesihatan Ibu dan Anak – saringan kesihatan mental (menggunakan saringan Whooley dan GAD-2) dalam kalangan ibu mengandung dan ibu yang telah melahirkan anak.

     

    Strategi 3: Memperkasakan Kesedaran Kesihatan Mental Dalam Kalangan Masyarakat Melalui Literasi Kesihatan Mental.

    • Pelaksanaan ToT Modul Literasi Kesihatan Mental di Peringkat Kesihatan Primer.
    • Pelaksanaan Latihan Kesihatan Mental kepada Ketua Komuniti – LESTARI (Leader Star in Mental Health) – masih dalam draf pelaksanaan.
    • Psychological First Aid (PFA) akan dilaksanakan di kalangan anggota SUK, Ketua Komuniti dan agensi barisan hadapan. Cadangan perlaksanaan adalah dengan kerjasama SUK di mana input teknikal adalah daripada JKNS dan logistik di bawah SUK

     

    Strategi 4: Pemerkasaan Kesihatan Mental Di Tempat Kerja.

    • Pelaksanaan sudut minda sihat di fasiliti kesihatan bagi mempromosi kesihatan mental dalam kalangan warga kerja di KKM dengan kerjasama Unit Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (KPAS).

     

    Strategi 5: Sambutan Hari Kesihatan Mental.

    • Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Selangor akan dilaksanakan pada 6 November 2024.

     

    Strategi 6: Pelaksanaan Aktiviti – Aktiviti Pencegahan Tingkah Laku Bunuh Diri di bawah Program MySAVE (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope).

    • Latihan pengendalian tingkah laku bunuh diri kepada anggota kesihatan (mySAVE). ToT MySAVE telah diadakan pada 4-6 Mac 2024 oleh NCEMH kepada semua wakil JKN. Satu latihan telah dilaksanakan kepada anggota kesihatan pada 25-27 Jun 2024. Seminar Pencegahan Penderaan Kanak- Kanak dan Remaja 2024 telah diadakan pada 5 Jun 2024 di Auditorium PPAS dengan kerjasama agensi lain (SUK, PDRM, JKM, SUHAKAM).

     

     

    Strategi 7: Memperkasa/ Kebolehcapaian Perkhidmatan Kesihatan Mental Bersama Agensi Lain.

    • Hub Kesihatan Mental di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM). Perkhidmatan kaunseling secara fizikal ini dibuat secara berjadual yang dirancang bersama oleh SUK, LPPKN dan JKNS. Ianya masih dalam perbincangan pelaksanaan. Disebabkan oleh jumlah kaunselor yang sangat minimum di setiap PKD (1-2 orang sahaja) dan beban pesakit yang semakin ramai, telah menyebabkan masa menunggu temujanji kaunseling yang panjang. PKM merupakan pusat yang lebih sesuai untuk penyelesaian isu terutamanya yang berkaitan sosioekonomi dan ianya mudah diakses kepada orang awam.

     

    • Menguna sama slot kaunseling yang ditawarkan oleh LPPKN untuk memberi pilihan dalam perkhidmatan kaunseling yang lebih sesuai kepada klien/ orang awam yang memerlukan.

     

    Begitu juga, talian bantuan kesihatan mental oleh NCEMH iaitu Talian HEAL 1555 telah diwujudkan sejak 21 Oktober 2022 dan ia dibuka setiap hari, dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam termasuk cuti umum.

Lampiran

Tiada Lampiran.