Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
47) PEMERIKSAAN MAMMOGRAM PERCUMA
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status program Pemeriksaan Mammogram Percuma untuk wanita di negeri Selangor dari segi bilangan yang sudah membuat pemeriksaan mengikut DUN?
Pelaksanaan Mammogram masih diteruskan malah tindakan penambahbaikan program telah diambil dan dilaksanakan secara berterusan sehingga kini. Penambahbaikan ini adalah dari segi penambahan jumlah pengendali operasi Mammogram bagi memudahkan ramai lagi wanita di Negeri Selangor menikmati manfaat yang diberi. Untuk makluman sejak program ini dilancarkan sehingga Mac 2015 seramai 19,040 orang peserta telah mendapat manfaat daripada program tersebut seperti di LampiranA
-
Apakah program lain yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi memberi kesedaran tentang pencegahan penyakit barah payudara di Selangor?
Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga telah bekerjasama dengan persatuan NGO, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (Breast Canser Welfare Association Malaysia (BCWA)) telah mengadakan Kempen Kesedaran Pencegahan Awal Kanser Payudara dengan mengadakan Jelajah Anti Kanser Payudara bersama BCWA menggunakan van khas untuk pemeriksaan klinikal barah payudara secara percuma yang dinamakan Mobile Unit Reaching Nationwide with Information (MURNI).
Van MURNI merupakan sebuah truck yang telah diubah suai dengan dilengkapi peralatan klinikal bagi menjalankan kempen pencegahan kanser payudara. Van MURNI akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi membantu wanita di kawasan tersebut untuk menjalani ujian pengesanan awal kanser payudara secara klinikal dan mendapatkan informasi lebih lanjut berkenaan barah payudara.
Program ini telah dimulakan pada 4 Februari 2015 bersempena dengan hari kanser sedunia bermula di Bangunan SUK Shah Alam, DUN Bukit Gasing, DUN Damansara Utama, DUN Subang Jaya, DUN Seri Setia dan yang terkini, terlibat secara langsung dalam Program Malaysia Women Marathon 2015 pada 8 Mac 2015.