Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

167) PEMELIHARAAN HUTAN BAKAU

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah kawalan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk memastikan penebangan pokok hutan bakau tidak menjejaskan kemusnahan alam sekitar ?

    Selaras dengan Dasar Moratorium selama 25 tahun, tiada kelulusan diberikan bagi tujuan penebangan pokok hutan bakau. Walau bagaimana pun, apabila berlaku permohonan untuk tebangan pokok-pokok hutan bakau bagi sesuatu projek ianya tertakluk kepada langkah-langkah mitigasi yang ditetapkan dalam laporan kesan-kesan alam sekitar (EIA).

  2. Sejauh manakah penebangan pokok hutan bakau menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri ?

    Oleh kerana tiada kelulusan untuk tebangan pokok bakau, maka kutipan hasil pada masa ini bagi kayu bakau adalah merupakan ‘cukai perkhidmatan’ sepertimana ditetapkan dalam Kaedah-kaedah Hutan Negeri Selangor. Pada masa ini, cukai perkhidmatan ini dikenakan terhadap kayu-kayu bakau yang dibawa dari Indonesia. Tiada permohonan yang diterima untuk membawa masuk kayu dari negara lain.

  3. Apakah usaha-usaha yang dibuat untuk memulihkan semula kawasan hutan bakau yang telah musnah ?

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan telah menjalankan aktiviti tanaman pokok bakau setiap tahun. Ianya dilaksanakan di bawah Program Penanaman Bakau dan Spesies-spesies Yang Sesuai di Pesisir Pantai Negara. Dalam masa yang sama Jabatan juga menjalankan kempen kesedaran dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan dan juga pihak sekolah sebagai usaha meningkat kesedaran serta memulihara kawasan hutan bakau.

    Semenjak tahun 2009 hingga Mac 2014, sejumlah 8 hutan simpanan kekal (bakau) telah berjaya dipulihkan dengan keluasan meliputi lebih kurang 40.40 hektar. Senarai kawasan yang terlibat adalah HS Kuala Bernam – 6.0 ha, HS Banjar Utara – 9.48 ha, HS Telok Gong – 9.0 ha, HS Pulau Klang – 12.14 ha, HS Jugra – 8.0 ha, HS Telok Gedong – 1.87 ha, HS Telok Gong – 1.5 ha dan HS Kuala Sepang – 0.41 ha.

Lampiran

Tiada Lampiran.