Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

115) PEMELIHARAAN BUDAYA & EKONOMI

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan dalam menubuhkan Pusat Inovasi Kulinari untuk menggalakkan usahawan kulinari?

    Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan penubuhan Pusat Inovasi Kulinari dalam memajukan industri kulinari dan menggalakkan usahawan kulinari. Pada masa ini, Kerajaan Negeri giat melaksanakan pelbagai inisiatif dan program yang menyokong sektor kulinari serta mengadakan jalinan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan, industri dan agensi-agensi di bawah Kerajan Negeri seperti Menteri Besar Incorporated (MBI), Yayasan Hijrah Selangor, Selangor Youth Community (SAY) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam penyediaan latihan berkualiti tinggi dan peningkatan inovasi dalam industri kulinari serta promosi dan pemasaran. Kerajaan Negeri turut memperkenalkan platform dan kemudahan yang membolehkan usahawan kulinari memasarkan produk mereka  dengan lebih meluas termasuk melalui pengusaha pasaran tempatan dan antarabangsa.

  2. Adakah kerajaan telah meneliti inisiatif untuk mempromosikan makanan Malaysia dan memelihara tradisi kulinari tempatan?

    Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memelihara dan mempromosikan tradisi kulinari tempatan secara berterusan. Usaha ini termasuk penyelidikan dan dokumentasi makanan tradisi melalui PADAT bagi jejak gastronomi makanan warisan/tradisi negeri Selangor serta peningkatan kesedaran tentang kepelbagaian dan keunikan masakan Malaysia secara amnya dan makanan tradisi secara keseluruhannya melalui pelbagai saluran promosi. Antaranya penganjuran Festival Makanan Warisan yang merupakan program signature negeri sejak tahun 2022 bagi memperkenalkan dan mengangkat martabat hidangan warisan/tradisi tempatan. Program ini bukan sahaja sebagai platform kepada pengusaha makanan tempatan, tetapi juga memperkenalkan kekayaan budaya makanan kepada masyarakat tempatan dan pelancong. Sejak pelaksanaannya, beberapa rekod telah dicipta di dalam Malaysia Book of Records (MBOR) :

     

    • Tahun 2022 : Program ini mengangkat Nasi Ambeng sebagai hidangan warisan negeri dan telah mencatatkan rekod dengan penyediaan hidangan Nasi Ambeng terbesar sebanyak 2,022 hidangan.

     

    • Tahun 2023 : program ini berjaya menyediakan 100,000 cucuk Sate Kajang seterusnya telah mencatatkan rekod membakar sate terpanjang di Malaysia; dan

     

    • Tahun 2024 : Program ini telah berjaya mengumpulkan 2,500 peserta dalam sesi makan Punten dan telah mencatatkan rekod hidangan Punten terbesar di Malaysia iaitu sebanyak 2,500 hidangan.
  3. Adakah kerajaan bercadang memperkenalkan panduan makanan atau anugerah khas untuk restoran bagi menarik minat pelancong ke Selangor?

    Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah menerbitkan Deliciously Selangor, sebuah direktori makanan bagi mengetengahkan restoran dan hidangan ikonik negeri Selangor. Kini, Tourism Selangor sedang dalam proses pencetakan panduan makanan di Selangor sebagai usaha berterusan untuk memperkenalkan dan mempromosikan keunikan kulinari negeri ini kepada pelancong.

    Selain itu, promosi makanan tempatan juga giat dilakukan melalui platform media sosial rasmi Tourism Selangor bagi menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.

    Setakat ini, tiada anugerah khas untuk restoran di negeri Selangor. Namun, Kerajaan Negeri giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mempromosikan makanan tradisional sebagai daya tarikan pelancongan.

Lampiran

Tiada Lampiran.