Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
108) PEMELIHARAAN BUDAYA DAN WARISAN ORANG ASLI
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Orang Asli
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha-usaha yang diambil untuk memelihara dan mempromosikan budaya dan warisan orang asli Selangor?
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) amat menitikberatkan perihal budaya dan warisan masyarakat Orang Asli di Negeri Selangor. Pelbagai usaha telah dilaksanakan antaranya, menjalinkan kerjasama antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam mempromosikan budaya dan warisan masyarakat Orang Asli Selangor.
Selain dari itu, sebuah Pusat Kraf Orang Asli juga telah dibina yang terletak di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun. Pusat kraf ini menempatkan hasil ukiran serta anyaman masyarakat Orang Asli Mah Meri dan merupakan salah satu medium untuk pihak JAKOA mempromosikan adat dan budaya masyarakat Orang Asli di kampung tersebut.
Selain JAKOA, pihak Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), turut terlibat secara langsung dalam mempromosikan adat dan budaya masyarakat Orang Asli. Terdapat satu galeri adat dan kebudayaan yang mempamerkan tentang kebudayaan Orang Asli di Selangor terutamanya suku kaum Mah Meri di Muzium Sultan Alam Shah. Antara koleksi yang dipamerkan seperti baju kulit kayu, ukiran patung, topeng, anyaman kelarai, permainan tradisi dan lain-lain.
Kumpulan kesenian PADAT juga turut mempersembahkan tarian Orang Asli semasa program-program, sama ada program yang dianjurkan oleh PADAT atau program jemputan. Antara program anjuran PADAT adalah program Semarak Seni dan Budaya (SENADA) yang mana PADAT telah menjemput guru kraf orang asli untuk membuat demonstrasi.
-
Adakah terdapat geran atau bantuan khas disediakan untuk melaksanakan inisiatif pemeliharaan budaya mereka?
Kerajaan Negeri dibawah Jawatankuasa Tetap Kebudayaan memperuntukan sebanyak RM100,000.00 pada tahun 2024 bagi pelaksanaan oleh persatuan dan NGO program kebudayaan rakyat berbilang kaum, termasuklah daripada orang asli dan agensi kerajaan.
Pelaksanaan program dan acara orang asli, contohnya Program Asli Battle Of The Band (ABOTB) 2023 iaitu sebuah program pertandingan mencungkil bakat, memberi peluang dan mengetengahkan seni budaya orang asli. Selain itu, Program Rentak Selangor mengetengahkan pelbagai seni budaya dari kaum dan etnik di Negeri Selangor termasuklah daripada orang asli khususnya Kaum Mahmeri.
Kerajaan Negeri Selangor juga telah membawa ke pelbagai program termasuklah di ekspo dan penyertaan acara ke peringkat antarabangsa. Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan PADAT dalam usaha mengembangkan dan membangunkan seni kraf dan kebudayaan di Negeri Selangor termasuklah bagi seni kraf kaum orang asli seperti seni ukiran, anyaman dan sebagainya.
-
Adakah terdapat inisiatif untuk membangunkan platform digital yang memaparkan maklumat tentang budaya mereka?
Selaras dengan peredaran zaman, PADAT sentiasa aktif dalam Penyediaan kandungan digital di saluran media sosial PADAT yang mana melalui saluran media seperti PADAT TV, Kesenian PADAT di saluran YouTube, dengan pelbagai kandungan digital telah dimuat naik bagi tontonan pengguna media sosial yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda dan remaja.
Selain itu, penggunaan teknologi dan aktiviti interaktif bagi menarik minat generasi muda juga turut terdapat pada kaedah pameran dan peragaan di Muzium contohnya seperti di Muzium Permainan Tradisional dan akan datang ialah Muzium Sultan Alam Shah.
PADAT juga turut menitik beratkan penubuhan kumpulan-kumpulan kebudayaan yang menjadi pelapis bagi warisan dan tradisi bermula dari sekolah. Antara usaha yang dilakukan ialah melalui penubuhan kumpulan-kumpulan kesenian seperti kumpulan cempuling bukan hanya dibantu melalui bantuan tenaga pengajar malahan dibantu dengan peminjaman alat muzik seperti cempuling untuk pembelajaran dan latihan.