Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
172) PEMBUANGAN SISA INDUSTRI DI TEBING SUNGAI
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap tebing sungai yang berulang kali menjadi tapak pembuangan sisa industri yang berbau bahan kimia?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa menjalankan pemantauan secara bersepadu bersama pihak Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah dalam memastikan persekitaran sumber air terpelihara dari ancaman pencemaran. Selaras dengan itu, sebarang pelanggaran dan kesalahan berkaitan pencemaran yang melibatkan sisa industri atau Buangan Terjadual akan diambil tindakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974, pihak yang disabit kesalahan melupuskan buangan terjadual di tebing sungai boleh dihukum penjara mandatori serta denda sehingga RM500 ribu. Pihak LUAS juga boleh mengambil tindakan perundangan bagi kesalahan pencemaran sumber air melalui Seksyen 79, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 dengan denda minima RM 200 ribu sehingga maksimum RM 1 juta dan penjara minima 3 tahun.
Bagi mencegah kejadian pembuangan sisa industri di tebing-tebing sungai daripada berulang, Kerajaan Negeri melalui JAS dan LUAS telah mengambil tindakan-tindakan yang berikut iaitu:
i. Melaksanakan kawalan di peringkat punca (control at source) iaitu penguatkuasaan ke atas 4,918 premis yang menghasilkan sisa buangan terjadual di negeri Selangor bagi memastikan sisa buangan diuruskan secara selamat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Dianggarkan sebanyak 2 juta Metrik Tan (MT) buangan terjadual dijana daripada industri-industri di negeri Selangor;
ii. Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS sedang menggerakkan inisiatif dasar Polluters Pay Principle (PPP) dan Zero Discharge Policy (ZDP). Polisi ini adalah pendekatan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar. Pelaksanaan kedua-dua polisi ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya dan seterusnya mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi dan menggalakkan amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices, BMPs) atau teknologi hijau/green technology seperti kitar semula pelepasan efluen oleh sektor ekonomi;
iii. Melaksanakan penguatkuasaan secara bersasar ke atas punca-punca pencemaran melalui Operasi Gempur dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa.;
iv. Melaksanakan pemantauan 24 jam oleh Skuad Pantas LUAS di lembangan sungai strategik bagi memastikan sumber air terpelihara dengan melaksanakan langkah-langkah kawalan dan pencegahan bagi meminimakan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA);
vi. Memantau keadaan tebing-tebing sungai melalui teknologi “drone” bagi mengesan pembuangan sisa industri atau sisa buangan terjadual terutama di kawasan yang tersorok dan tiada ekses; dan
v. Menjalankan pengawasan kualiti air sungai secara berkala di 95 lokasi strategik di tujuh (7) lembangan sungai utama negeri Selangor bagi mengesan kemerosotan kualiti air sungai yang mungkin berpunca daripada pembuangan sisa buangan di tebing sungai.
-
Adakah Kerajaan Negeri sedar kegiatan pembuangan sisa industri di tepi Sungai Aur, menyebabkan sungai tersebut menjadi sempit dan mengakibatkan banjir?
Mengenai isu pembuangan sisa pepejal dan sisa industri di Sungai Aur, Majlis Perbandaran Klang (MPK) berterusan melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan pembuangan sampah di tepi Sungai Aur seperti sitaan kenderaan yang membuang sampah secara haram di tebing sungai. Pada tahun 2022, sebanyak lima (5) buah kenderaan telah disita kerana membuang sampah secara haram di tebing Sungai Aur.
MAKLUMAT TAMBAHAN
- Bagi memastikan sumber air terpelihara, inisiatif pihak LUAS dalam memperkasakan tindakan pemantauan dan juga kawalan punca pencemaran adalah seperti berikut:
- Menjalankan Kajian Inventori Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi sungai-sungai yang berisiko sebagai langkah pencegahan dan kawalan aktiviti-aktiviti di rizab sungai bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu;
- Melaksanakan pemantauan menggunakan perkhidmatan dron berteknologi tinggi bagi membantu mendapatkan maklumat terperinci di lokasi pencemaran samada waktu siang atau malam dikawasan berisiko tinggi;
- Selain itu, pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
- Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor yang dipengerusikan oleh Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
- Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Alam Sekitar.
2. Statistik pencapaian Operasi Gempur oleh JAS dan tindakan penguatkuasaan, 2022
Mengenai isu pembuangan sisa pepejal dan sisa industri di Sungai Aur, Majlis Perbandaran Klang (MPK) berterusan melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan pembuangan sampah di tepi Sungai Aur seperti sitaan kenderaan yang membuang sampah secara haram di tebing sungai. Pada tahun 2022, sebanyak lima (5) buah kenderaan telah disita kerana membuang sampah secara haram di tebing Sungai Aur.