Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

68) PEMBINAAN SEKOLAH BARU DI DUN KUANG

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Perumahan dan pembangunan rancak berlaku di Kuang, tetapi sekolah tidak dibina. Bilakah sekolah baru akan dibina untuk menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat?

    Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil maklum akan keprihatinan Ahli Yang Berhormat berkaitan isu pertambahan kawasan perumahan yang rancak di Kuang sehingga menyebabkan peningkatan kepada permintaan bagi kemudahan pendidikan iaitu sekolah di kawasan tersebut.

    Semakan JPN Selangor mendapati bahawa tiada tanah rizab pendidikan baharu diwartakan di kawasan Kuang. Walau bagaimanapun, terdapat satu projek sekolah baharu iaitu SK Bukit Rahman Putra (2) dalam radius 3.7 km yang telah diluluskan dalam RMKe-12 RP4 tahun 2024 dan sedang dalam proses prapembinaan (makmal kajian nilai). Sekolah baharu ini mengandungi 36 Bilik Darjah, 3 Bilik Darjah Prasekolah, 6 Bilik Darjah PPKI dan kemudahan lain mengikut piawai.

    JPN Selangor yakin, apabila sekolah baharu tersebut siap kelak, ia akan mampu memenuhi keperluan bagi kemudahan pendidikan di kawasan Kuang seterusnya mengurangkan kepadatan murid di sekolah sedia ada yang berhampiran.

     

  2. Daripada 8 tapak sekolah di Bandar Tasik Puteri, hanya 3 telah digunakan. Bilakah sekolah baru akan dibina?

    JPN Selangor menyedari isu kepadatan murid di sekolah sedia ada di kawasan Bandar Tasik Puteri. Untuk makluman bersama, sebuah sekolah baharu telah diluluskan dalam RMKe-12 RP5 bagi kawasan Bandar Tasik Puteri iaitu SMK Bandar Tasik Puteri 2. Sekolah baharu ini mengandungi 42 bilik darjah, 5 bilik darjah PPKI dan kemudahan lain mengikut piawai. Pelaksanaan pembinaan bagi sekolah ini dijangka akan bermula pada tahun 2026. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, JPN Selangor telah merancang untuk mengangkat permohonan bagi SK Bandar Tasik Puteri (3) dalam RMKe-13 RP3 Tahun 2028 kelak. JPN Selangor yakin pembinaan kedua-dua sekolah tersebut nanti akan mampu mengatasi isu kepadatan murid di sekolah sedia ada dan menampung kekurangan sekolah di kawasan Bandar Tasik Puteri yang sedang pesat membangun.

Lampiran

Tiada Lampiran.